syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 16 pereka fesyen separuh masa daripada Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) mencipta sejarah tersendiri apabila mempersembahkan koleksi akhir masing-masing dalam Pertunjukan Fesyen Ijazah iCEPS 2026, hari ini.
Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu menjadi pentas kemuncak penilaian akademik bagi kumpulan sulung pelajar Ijazah Fesyen separuh masa di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bertemakan ‘Duality of Fashion’, koleksi yang dipersembahkan mengangkat interpretasi keseimbangan antara tradisi dan kontemporari, kelembutan dan kekuatan serta peranan peribadi dan profesional yang digalas setiap pereka.
Ketua Program, Shahnaz Harith berkata, kesemua 16 pereka terbabit bukan sahaja bergelar pelajar, malah memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa, penjawat awam dan suri rumah.
Katanya, walaupun berdepan cabaran membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan tugasan akademik, mereka kekal komited menyiapkan koleksi masing-masing dengan pengorbanan masa, tenaga serta kewangan sendiri.
“Pertunjukan ini bukan sekadar acara fesyen, sebaliknya membawa makna lebih besar buat semua peserta.
“Kita bukan sekadar berjalan di atas pentas peragaan, kita membawa naratif pejuang ilmu yang tidak pernah mengalah walaupun dibebani tanggungjawab kerja dan keluarga.
“Ingat, momentum itu penting, tetapi kegelisahan tidak membawa manfaat. Fokus pada kualiti kerja, kekalkan profesionalisme dan biarkan hasil seni kita berbicara,” katanya ketika ditemui pada program Degree Fashion Show iCEPS 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak terikut-ikut dengan tekanan suasana, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap mutu hasil kerja.
Susulan itu juga, beliau menyeru semua 16 pereka agar menamatkan perjuangan itu dengan penuh bergaya dan bermaruah.
“Kita sudah sampai ke garisan penamat. Mari kita cipta sejarah hari ini dengan penuh kelas dan martabat,” katanya.
Program Ijazah Fesyen iCEPS dilaksanakan secara pembelajaran jarak jauh dan separuh masa menerusi platform digital seperti Sistem Pengurusan Perpustakaan (LMS), ‘Virtual Learning Environment’ (VLE), iClass, MOOC dan kandungan OpenLearning.
Pendekatan fleksibel itu membuktikan komitmen UiTM dalam memperluas akses pendidikan tinggi secara inklusif tanpa mengira latar belakang serta kekangan masa pelajar.
Selain menjadi medan penilaian akademik, pertunjukan berkenaan turut berperanan sebagai platform profesional untuk memperkenalkan bakat baharu kepada industri fesyen tempatan.
Penganjuran program itu mencerminkan iltizam UiTM dalam memperkasa pendidikan fleksibel serta menyokong aspirasi pelajar dewasa untuk terus cemerlang dalam bidang seni reka fesyen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




