MILAN: Pelumba Aprilia, Jorge Martin yakin prestasi Ducati akan kembali ke tahap sebenar apabila saingan MotoGP bersambung di Eropah menerusi Grand Prix (GP) Sepanyol hujung bulan ini.
Menurut juara dunia 2024 itu, litar di Jerez bakal menjadi titik perubahan selepas Ducati mempamerkan aksi kurang konsisten dalam tiga pusingan awal musim 2026.
“Di Jerez, semuanya akan kembali normal. Ducati akan kembali seperti biasa,” katanya.
Setakat ini, Ducati hanya meraih satu podium GP menerusi Fabio Di Giannantonio di Brazil, manakala juara dunia bertahan, Marc Marquez masih belum menamatkan perlumbaan GP dalam kelompok tiga terbaik.
Berbeza dengan Aprilia yang tampil cemerlang terutama pada perlumbaan utama apabila Marco Bezzecchi melakar kemenangan hatrik di Thailand, Brazil dan Amerika Syarikat.
Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan Bezzecchi kini mendahului kedudukan kejuaraan dengan Martin hanya ketinggalan empat mata di belakang rakan sepasukannya itu.
Mengulas prestasinya sendiri, Martin mengakui tidak menjangkakan keputusan positif yang diraih di Austin selepas bangkit daripada musim 2025 yang dibelenggu kecederaan.
“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan ini. Saya cuba merendahkan sedikit jangkaan. Kami belum bersedia. Perancangannya adalah untuk melalui dua atau tiga perlumbaan tanpa terlalu menonjol, terus mengutip mata, tempat kelima, kelapan, apa sahaja yang dapat sudah memadai,” katanya. – AGENSI




