am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Duda berusia 70 tahun dicekup berkhalwat dengan seorang janda berusia 30-an di sebuah kampung di dalam daerah di negeri ini, kelmarin.
Tangkapan dibuat selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang membuat serbuan kira-kira 9 pagi melakukan kepungan di sekeliling rumah terbabit.
“Penguat kuasa JAINJ mengetuk pintu sebelum dibuka oleh seorang lelaki. Apabila mengetahui yang datang itu adalah penguat kuasa, dia cuba menutup pintu semula tetapi tidak berjaya.
“Penguat kuasa berjaya masuk ke dalam selepas memperkenalkan diri. Pemeriksaan dalam rumah menemukan seorang kanak-kanak berumur empat tahun sedang tidur di ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut JAINJ, pemeriksaan turut dilakukan dalam bilik namun tidak menjumpai sesiapa.
Namun apabila penguat kuasa mengetuk pintu bilik air, seorang wanita dalam keadaan berkemban berjalan keluar.
“Siasatan mendapati lelaki berkenaan berusia 70 tahun berstatus duda kematian isteri. Wanita itu pula berstatus janda dan mempunyai seorang anak.
“Wanita berkenaan yang berasal dari daerah lain sudah dua hari datang ke rumah duda tersebut.
“Pasangan itu memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk bernikah namun mendakwa ada urusan yang masih belum selesai,” katanya.
Pasangan itu ditahan atas kesalahan Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




