Duda dituduh rogol remaja

Duda dituduh rogol remaja

am@hmetro.com.my

Muar: Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ditemui selamat.

Tertuduh, Goh Sek Loong, 46, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan jurubahasa namun Majistret Suzana Mokhtar menolak pengakuan itu kerana dianggap tidak selamat memandang lelaki itu seperti dalam keadaan tidak stabil.

“Pengakuan bersalah tertuduh tidak selamat untuk diambil. Cara jawapan (pengakuan) diberikan juga tidak boleh diterima,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja yang juga pelajar berusia 15 tahun di inap desa di Batu Pahat, 26 Julai lalu.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam selain status ikat jamin yang akan disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top