'Duda okay, suami orang tak mahu' – Sherry Alhadad

'Duda okay, suami orang tak mahu' – Sherry Alhadad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pengacara juga pelakon, Sherry Alhadad, 41, tidak kisah bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang.

Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Ferry Mariam Sri Karisma Syed Abdullah Al Hadad mengaku dia tiada masalah berkahwin dengan duda yang memiliki anak kerana sukakan kanak-kanak.

“Seboleh-bolehnya saya elak suami orang tetapi jika duda, tiada masalah.

“Kalau ada anak pun saya okay. Saya suka budak-budak. Saya pun sudah berumur, jadi, jika dia ada anak lebih bagus.

“Tetapi setakat ini, saya masih belum ada calon. Mungkin lelaki takut hendak dekat kerana fikir saya dominan dan ‘maintenance’ (kos sara diri) tinggi,” katanya ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Award (GMWA) di ibu kota, baru-baru ini.

Sherry berkata, mungkin sikapnya yang ceria dan bertenaga, selain kerjaya sebagai selebriti menyebabkan lelaki bimbang mendekati.

“Saya tidak kisah jika pendapatan lelaki itu kurang daripada saya. Saya orang biasa, cuma pekerjaan saya di depan televisyen (TV) menyebabkan saya tampak glamor.

“Saya manusia normal macam orang lain,” katanya.

Sherry juga percaya hakikat dirinya bertemu dengan kenalan dalam industri sama menyebabkan sukar mendapat jodoh.

“Saya sudah kaji kenapa. Saya jumpa orang yang sama. Saya pula tidak suka main media sosial kerana lebih suka bertemu depan-depan,” katanya.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top