Duduk atas bumbung rumah pegang pisau, lelaki dipercayai masalah mental

Duduk atas bumbung rumah pegang pisau, lelaki dipercayai masalah mental

rnoraina@hmetro.com.my

Kajang: Lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditahan selepas menceroboh dan duduk di atas bumbung sebuah rumah dengan senjata pisau di Semenyih di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima panggilan kejadian daripada orang awam pada 8.50 malam dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membantu di lokasi kejadian.

“Selepas hampir empat jam usaha memujuk lelaki berusia 48 tahun itu dilakukan, suspek yang hanya memakai seluar pendek berjaya ditahan di tempat kejadian dan senjata pisau turut dirampas.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah kesihatan mental dan bukan berasal dari Semenyih. Suspek dibawa ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca dan bagaimana suspek berada di lokasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi di talian 011-36307974.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 13 saat yang menunjukkan pasukan bomba bersama jentera sedang berusaha memujuk suspek yang duduk di atas bumbung sebuah rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top