Duduk di kerusi roda pun saya masih boleh berlakon – Sathiya

Duduk di kerusi roda pun saya masih boleh berlakon – Sathiya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak veteran, Sathiya, 61, yang dirawat di Hospital Ampang sudah dibenarkan pulang ke rumah sejak Ahad lalu.

Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy berkata, dia juga gembira kerana sudah keluar dari wad dan kini berehat bersama keluarga di rumah.

“Saya sudah seminggu keluar dari hospital dan keadaan kesihatan juga baik kerana hanya tiga jari kaki sahaja yang dipotong.

“Selera makan juga baik dan saya juga sudah makan banyak seperti biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai keadaan tiga jari kakinya yang dipotong pula, kata Sathiya, dia akan menjalani pemeriksaan semula di hospital pada Rabu depan.

“Saya akan ke hospital semula minggu depan kerana doktor mahu periksa sama ada dua dari tiga jari kaki yang dipotong itu ada jangkitan atau tidak.

“Saya juga boleh berjalan tetapi secara perlahan dan masih lagi boleh berlakon walaupun terpaksa duduk di kerusi roda.

“Pada masa sama, saya juga sudah selesai penggambaran dua drama termasuk bahasa Tamil sebelum dirawat di hospital sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Sathiya pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan angin ahmar yang membuatkan pergerakannya agak terbatas pada tahun lalu.

Menurut anaknya, Amani, 36, selain diserang angin ahmar pada Ogos tahun lalu, bapanya turut disahkan menghidap diabetes.

Tidak hanya itu, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an itu juga sudah beberapa tahun menghidap diabetes dan darah tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top