Duet raya sentuh jiwa

Duet raya sentuh jiwa

najiy.jefri@hmetro.com.my

AIDILFITRI bukan sekadar sambutan keagamaan, tetapi turut menjadi wadah penyatuan budaya dan persaudaraan antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, mesej perpaduan itu semakin terserlah menerusi kerjasama dua bintang TikTok popular, Dani Kurama dari Malaysia dan Roza Feryantz dari Indonesia dalam single terbaharu mereka, Manisnya Raya.

Lagu yang dicipta khas bagi menyemarakkan suasana Aidilfitri bukan saja membawakan melodi ceria, tetapi turut mengangkat nilai silaturahim serta kegembiraan yang dirasai ketika berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai.

Dani yang sudah lebih lima tahun mencipta nama dalam industri muzik, menyifatkan kerjasama itu sebagai satu pencapaian bermakna dalam kariernya.

“Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat bekerjasama dengan bakat dari Indonesia, lebih-lebih lagi dalam sebuah lagu raya yang membawa mesej perpaduan.

“Bagi saya, Aidilfitri bukan hanya satu perayaan, tetapi juga menyatukan hati dan mengeratkan hubungan antara kita semua,” katanya.

Menurut Dani, Manisnya Raya disifatkan langkah pertamanya dalam melebarkan sayap ke pasaran muzik Indonesia

“Saya mahu lagu ini dimainkan setiap kali raya menjelang seperti lagu raya klasik yang terus segar di hati peminat. Liriknya mudah, melodinya ceria dan yang paling penting, ia mengajak semua orang bergembira bersama.

“Selain itu, sebagai artis, saya sentiasa mencari peluang berkembang dan meneroka pasaran baharu.

“Indonesia adalah negara yang sangat kaya dengan budaya dan muziknya sendiri, jadi dapat bekerjasama dengan Roza Feryantz adalah satu penghormatan buat saya,” katanya.

Dani juga berkongsi mengenai proses rakaman lagu ini yang berlangsung dalam suasana yang sangat positif dan menyeronokkan.

“Walaupun ini kali pertama saya dan Roza bekerjasama, kami cepat menemui keserasian.

“Saya sangat kagum dengan suara Roza yang begitu lunak dan penuh emosi dan saya percaya gabungan vokal kami mampu memberikan keunikan kepada lagu ini,” katanya.

Menurut Dani, dia berharap lagu itu bukan saja diterima sebagai lagu raya biasa, tetapi sebagai satu simbol perpaduan antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya membesar dengan lagu raya yang membawa kenangan manis setiap kali Syawal tiba.

“Harapan saya, Manisnya Raya dapat menjadi salah satu lagu yang mencipta memori indah buat pendengar, tidak kira di Malaysia atau Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Roza menyifatkan peluang merakam lagu raya itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya selain ingin berjinak-jinak dalam industri muzik.

“Kerjasama ini begitu bermakna kerana kami ingin menghidupkan suasana meriah raya yang penuh kenangan manis buat semua.

“Ia memberi saya keyakinan untuk terus berkarya dan berkongsi muzik dengan peminat di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 5 Mac lalu, Manisnya Raya hasil ciptaan Dani dan Roza menerima sambutan menggalakkan di platform digital dan mendapat reaksi positif daripada peminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top