am@hmetro.com.my
Derai tawa, aroma sarapan pagi dan suara ceria penyampai radio menyemarakkan suasana apabila Kool 101 turun padang menjayakan siaran luar rancangan Pagi On Point secara langsung di Shah Alam, baru-baru ini.
Bertujuan memeriahkan kempen promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, siaran istimewa dari jam 7 pagi hingga 10 pagi itu mencuri perhatian pelanggan, selain menarik kehadiran peminat setia stesen radio berkenaan.
Penyampai Kool 101, Haiza dan Muaz menceriakan suasana dengan celoteh bersahaja dan gelagat penuh gurauan mereka.
Lebih bermakna, program radio popular di bawah Media Prima Audio (MPA) itu juga memberi peluang kepada penyampai mendekati peminat yang selama ini hanya mendengar di radio.
Pelbagai segmen interaktif seperti kuiz santai dan teka-teki sepanjang siaran berjaya mencuit perhatian, manakala pelanggan tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan spontan bagi memenangi cenderamata eksklusif Kool 101.
Haiza dan Muaz yang terkenal dengan keletah mencuit hati tidak kering idea mengusik pendengar sehingga suasana penuh gelak tawa dan keceriaan walaupun di awal pagi.
Kemunculan paling dinanti-nantikan apabila penyanyi popular, Wany Hasrita hadir sekali gus mengejutkan peminat dengan penampilannya yang mencuri perhatian.
Selain itu, suasana turut bertukar seperti mini konsert apabila Wany dan Haiza secara spontan bergandingan menyanyikan lagu Dag Dig Dug.
Detik itu membuatkan ramai pelanggan mengeluarkan telefon pintar untuk merakam momen persembahan penuh energi dua penyanyi itu sambil turut sama menyanyi.
Gandingan harmoni dua figura itu bukan sahaja mengimbau kenangan lagu popular berkenaan, malah mencerminkan semangat ABPBH sebagai platform meraikan bakat seni tempatan.
Selesai persembahan, Wany turut meluangkan masa beramah mesra, bergambar dan melayan peminat dengan penuh mesra, menzahirkan hubungan erat antara artis, penyampai dan pendengar setia Kool 101.
Fasa undian Top 10 ABPBH 37 dibuka sehingga 17 November ini, membabitkan 16 kategori utama dan lima kategori sampingan Ekstra!.
Edisi kali ini tampil dengan pembaharuan apabila format Top 10 diperkenalkan buat pertama kali, memberi peluang lebih besar kepada peminat untuk menentukan artis pilihan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




