Dugaan bapa tunggal: Nasarudin gigih berniaga burger sara dua anak

Dugaan bapa tunggal: Nasarudin gigih berniaga burger sara dua anak

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Seremban: Menghidap masalah tulang belakang, sakit pinggang dan tekanan darah tinggi bukan alasan buat seorang bapa tunggal berhenti mencari rezeki demi membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah.

Bagi Nasarudin Md Nasir, 54, tanggungjawab membesarkan anak-anak perlu diteruskan meskipun terpaksa menahan kesakitan selepas kehilangan isteri akibat radang paru-paru dua tahun lalu.

Bapa kepada dua anak itu kini bergantung sepenuhnya pada pendapatan hasil menjual burger di tapak niaga sementara dekat Bandar Seremban Selatan, di sini, dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Menurut Nasarudin, perniagaan kecil-kecilan itu menjadi satu-satunya sumber pendapatannya selepas usaha mendapatkan pekerjaan tetap tidak berhasil berikutan faktor usia.

“Tanggungjawab menjaga anak terletak 100 peratus di atas bahu saya selepas kematian arwah isteri.

“Saya tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak, jadi saya perlu terus bekerja dan berniaga untuk menyara anak-anak.

“Saya tak boleh berehat kerana anak masih bersekolah dan perlu wang untuk perbelanjaan harian mereka serta keperluan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nasarudin, dia berniaga setiap hari kecuali Sabtu dan kerap berpindah lokasi kerana belum ada tapak niaga kekal termasuk tapak yang digunakan ketika ini.

“Saya tidak berseorangan kerana dibantu dua anak, Mikael Damien Qaizer, 11, dan Mikael Danish Qaizer, 9, selepas mereka pulang dari sekolah. Mereka banyak membantu mungkin kerana faham kepayahan saya mencari rezeki.

“Paling sebak bila tengok mereka bersemangat bantu saya promosikan gerai menerusi video di media sosial,” katanya.

Kata Nasarudin, pendapatannya tidak menentu dan selepas ditolak dengan modal, dia hanya meraih kira-kira RM100 sehari.

“Duit itu yang akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan hanya dapat simpan jika ada lebih.

“Saya berniaga kerana nak ikhtiar sendiri cuma memang tak cukup jadi sangat mengalukan jika ada bantuan persekolahan dan dana untuk berniaga.

“Saya cuma nak teruskan hidup dan pastikan anak dapat makan minum, bukan hidup dalam kemewahan kerana biarlah sederhana saja,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164294278295 atas nama Nasarudin Md Nasir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top