Dugaan berganda: Anak bongsu meninggal, isteri menghilang, bapa tabah demi anak OKU

Dugaan berganda: Anak bongsu meninggal, isteri menghilang, bapa tabah demi anak OKU

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Lahad Datu: Bukan mudah untuk Mohd Nizam Khir Azman melupakan detik hitam anak bongsunya, Nur Naufal Iqbal Mohd Nizam meninggal dunia dua tahun lalu selepas terjatuh ke dalam sungai.

Lebih menyedihkan, Mohd Nizam, 49, menerima khabar duka itu pada 3 Februari 2023 iaitu sehari selepas ulang tahun kelahiran Nur Naufal Iqbal atau nama manjanya Bai.

Belum hilang kesedihan, pasangannya pula menghilangkan diri pada hari ke-23 selepas pemergian Bai hingga dia perlu membesarkan lima anak sendiri pada awalnya.

Berkongsi kisahnya, Mohd Nizam berkata, sehingga kini, dia masih bersedih dengan apa berlaku namun perlu meneruskan hidup kerana ada tanggungjawab menjaga seorang anak orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal, Nur Harith Aysar, 14, atau nama manjanya Aysar yang tinggal bersamanya.

Katanya, anak sulung sudah berumah tangga dan tinggal bersama manakala dua lagi zuriatnya dijaga datuk dengan nenek juga ibu saudara mereka.

“Apa yang menyedihkan, Bai teruja nak sambut hari jadi tapi tak kesampaian selepas jatuh sungai di belakang rumah.

“Disebabkan keadaannya, doktor beritahu Bai terpaksa ditidurkan (diintubasi) cuma jam 3 pagi keesokannya, alat bantuan pernafasannya dicabut dan tak lama kemudian meninggal dunia.

“Hampir sebulan selepas kematian Bai, isteri waktu itu pula melarikan diri dan dia ada tinggalkan surat menceritakan hasratnya dalam beg saya cuma tak perasan sehingga selepas kehilangannya ,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nizam mengakui tidak bersedia menghadapi ujian yang datang silih berganti ketika itu.

“Anak pun tak faham kenapa ibunya menghilang tapi itu hakikat yang kami kena terima walaupun pahit.

“Dugaan itu sangat berat tapi keluarga banyak bagi semangat untuk saya bangkit semula,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Nizam mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang cuci .

Kini, Mohd Nizam bekerja sendiri dengan mengambil upah melakukan kerja kampung yang memerlukan khidmatnya.

“Kebanyakan masa saya dengan Aysar namun kalau ada kerja, saya akan hantarnya ke rumah anak sulung.

“Menantu saya akan bantu jaga Aysar yang ada masalah pergerakan kerana boleh berdiri pun dalam 10 saat saja.

“Sebelum hantar ke rumah anak sulung, saya akan siapkan bubur untuk Aysar dan begitulah kehidupan kami,” katanya.

Selagi ada kudrat, Mohd Nizam akan terus menggalas amanah menjaga anak syurganya itu juga menyara yang lain.

“Hidup perlu diteruskan dan mahu atau tidak, saya kena reda kerana ini takdir yang sudah tertulis.

“Cuma rindu terhadap anak yang sudah tiada memang tidak berpenghujung.

“Disebabkan itu, saya kongsi gambar duduk di tepi pusara Bai tempoh hari dengan harapan ada yang sudi sunting.

“Ramai bantu dan terubat sedikit kerinduan saya terhadap Bai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top