Dugaan tak matikan impian

Dugaan tak matikan impian

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gelang Patah: Pengalaman koma, terlantar dan hilang keupayaan berjalan akibat kemalangan dua tahun lalu tidak pernah mematahkan semangat Aiman Fakhrullah Abdullah, 17, untuk meneruskan hidup.

Sebaliknya, remaja mesra disapa Aiman yang sudah kembali ke sekolah pada Disember lalu enggan mensia-siakan peluang kedua dengan belajar bersungguh-sungguh lebih-lebih lagi kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang yang menetap di Taman Paya Mengkuang di sini berkata, sudah lama dia terperuk di rumah kerana melalui proses pemulihan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika pulang dari sekolah pada 2023.

Bagaimanapun, Aiman yang juga anak sulung daripada empat beradik itu mengakui tidak pernah berputus asa jauh sekali terlintas untuk berhenti sekolah selepas terbabit dalam kemalangan akibat terbabas dan merempuh pokok di laluan bertentangan.

“Jujurnya saya sentiasa ada keinginan nak ke sekolah kerana nak masuk kelas, belajar, jumpa kawan dan cikgu.

“Cuma keadaan kesihatan tak mengizinkan sebelum ini jadi kena berehat lama untuk pulihkan diri daripada kecederaan dan belajar berjalan semula.

“Syukur kerana sepanjang tempoh pemulihan keluarga terutama ibu banyak membantu dan dengan izin Allah SWT, dapat berjalan semula serta kembali ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Aiman, penerimaan guru dan rakan juga amat baik, malah dia sudah dapat menyesuaikan diri di sekolah selepas sekian lama berehat.

“Cuma saya tak dapat aktif sukan walaupun dulu suka sangat main bola sepak. Tapi tak mengapa, asalkan dapat belajar dan paling penting menduduki SPM tahun ini.

“Saya ambil enam subjek teras dan sekarang tengah buat persediaan kerana bulan depan peperiksaan percubaan. Saya harap dapat buat yang terbaik kerana nak buktikan saya juga boleh berjaya walaupun banyak tertinggal dalam pelajaran sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Noorhanan Mohamad Salleh, 36, berkata, dia bersyukur kerana doanya untuk melihat Aiman kembali sembuh, berjalan dan kembali meneruskan hidup termakbul.

Katanya, perjalanan Aiman untuk kembali sembuh tidak mudah namun percaya ia juga hasil kesungguhan anaknya yang tidak berputus asa.

“Selepas kemalangan, Aiman koma selama 16 hari di hospital dan boleh ingat orang sekeliling selepas sedar malah boleh bersembang pada awalnya namun murung selepas sebulan pulang ke rumah.

“Mulanya terlantar sampai pun tak boleh hingga terpaksa dipapah kemudian bergerak dengan kerusi roda, tongkat dan berjalan hasil konsisten mengikuti 60 sesi fisioterapi.

“Kemalangan itu pun menyebabkan saraf sebelah kiri terganggu, telinga kiri tak dapat mendengar, hidung tak dapat bau dan mata kiri sepet hingga juling serta kabur penglihatannya.

“Tapi Alhamdulillah, nampak Aiman semakin baik, dia pun sudah buat pembedahan tempurung kepala tahun lalu. Cuma Aiman banyak ketinggalan dalam pelajaran jadi harap dia terus semangat belajar dan lulus dengan cemerlang dalam SPM nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top