am@hmetro.com.my
KONSERT jelajah kumpulan popular dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR), Take Us To Your Heart di Arena of Stars, Resorts World Genting, Ahad lalu berjaya menarik lebih 5,000 penonton, sekali gus mengimbau perjalanan muzik mereka lebih tiga dekad.
Rata-rata penonton puas dan terhibur dengan persembahan kumpulan berkenaan.
MLTR yang dianggotai Jascha Ritcher, 61, (penyanyi), Mikkel Lentz, 55, (gitar) dan Kare Wanscher, 55, (dram) membuka tirai persembahan dengan lagu popular Someday dan Sleeping Child. Mereka kemudian meneruskan persembahan secara akustik menerusi lagu I’m Gonna Be Around, Nothing To Lose dan Out Of The Blue.
Lentz berkata, kali pertama mereka membuat persembahan di Malaysia ialah 30 tahun lalu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
“Ketika itu, kami menyanyi di depan 300 penonton saja,”
katanya sambil mendapat tepukan penonton.
Lentz juga turut bercerita bagaimana nama MLTR dipilih untuk kumpulan itu sebelum mereka menyampaikan lagu rock berjudul Wild Woman malam itu.
“Pada peringkat awal, kami mahukan rock & roll sebagai genre muzik tetapi selepas itu laluan membawa kami kepada genre ballad dan pop rock pula,” katanya.
Pada konsert berdurasi dua jam itu, MLTR menyampaikan 18 lagu popular mereka antaranya 25 Minutes, The Actor, Breaking My Heart dan Love Will Never Lie.
Bersandarkan pengalaman luas dalam bidang muzik dan menjayakan konsert jelajah dunia pastinya kumpulan ini bijak berkomunikasi dan menghiburkan peminat termasuk meminta menyanyi bersama.
Walaupun berusia emas, namun masih mampu menampilkan persembahan bertenaga seperti dulu.
Menurut Ritcher, bila memasuki usia 40 tahun dunia ini dirasakan seperti sudah berakhir.
“Apabila berusia 50 tahun, kita melihat diri di cermin dan berasa okay serta mungkin sedikit tua. Namun bila sudah mencecah usia 60 tahun, barulah kita sedar ia tempoh masa panjang yang dilalui sepanjang kehidupan,” katanya.
Wanscher turut mengimbas detik awal pembabitan karier muzik kumpulan itu 36 tahun lalu.
“Kami masih ingat ketika memandu dan tiba-tiba buat pertama kalinya kami dengar lagu MLTR dimainkan di radio.
“Untuk menyimpan detik istimewa itu, kami ambil kamera dan ambil gambar radio kereta itu. Ia sangat istimewa walaupun gambar itu membosankan,” katanya.
Persembahan kemuncak pada malam itu, peminat dihiburkan dengan rangkaian lagu hits seperti You Took My Heart Away, Paint My Love, Take Me To Your Heart dan That’s Why (Yo Go Away).
Konsert ini anjuran MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions.
© New Straits Times Press (M) Bhd




