am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Amalan merokok yang bermula sejak remaja dan mampu menghabiskan empat kotak setiap hari membawa kesan buruk kepada seorang pesara kerajaan apabila didiagnos dengan kanser tiroid.
Tidak mengalami sebarang rasa sakit, Ismail Mamud, 68, berkata, kehilangan suara secara tiba-tiba menjadi petanda dia menghidap kanser sebelum dirujuk ke sebuah klinik selepas keadaan itu berlanjutan selama tiga bulan.
Ismail berkata, doktor mengesan simptom itu ada kaitan dengan kanser dan segera dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini sebelum mengesahkan dia menghidap kanser tiroid tahap empat.
“Memang rasa ‘down” sangat kerana tak sangka menghidap kanser, doktor memberitahu ia disebabkan saya adalah perokok tegar sebelum ini yang mampu menghabiskan empat kotak (rokok) sehari.
“Akibatnya, peti suara saya terpaksa dibuang melalui pembedahan segera yang dilakukan selama 13 jam sekali gus menyebabkan saya hilang suara buat selama-lamanya.
“Pada mulanya, saya berkeras tidak mahu membuang peti suara namun doktor menjelaskan sel kanser sudah merebak menyebabkan tiada pilihan lain kecuali menjalani pembedahan dan saya terpaksa akur,” katanya di sini.
Ismail berkata, lubang juga terpaksa ditebuk di lehernya untuk pernafasan dan susulan daripada pembedahan terbabit, dia menjalani rawatan radioterapi sebanyak 30 kali dan kini masih lagi menghadiri temujanji di hospital setiap tiga bulan sekali.
Ismail berkata, dia berkomunikasi menggunakan mikrofon dinamik yang mampu mengeluarkan suara walau bukan suara asli miliknya.
“Walaupun bunyi agak lucu tapi sekurang-kurangnya saya dapat bercakap berbanding sebelum ini hanya gerak bibir sahaja.
“Sebelum ini saya seorang yang peramah, banyak bercakap malah suka menyanyi karaoke tapi apabila sudah hilang suara begini, hidup saya sudah sunyi tanpa kedengaran suara sendiri lagi,” katanya.
Bapa kepada 13 cahaya mata itu berkata, sebelum ini dia sudah biasa menguruskan dua isteri yang juga menghidap kanser iaitu kanser rahim serta pankreas sebelum keduanya meninggal dunia.
Tidak menyangka dia sendiri menjadi pesakit kanser, Ismail bersyukur dimaklumkan oleh doktor dirinya bebas sel kanser namun pada masa yang sama tetap berwaspada.
“Saya kini menjalankan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan kerana sebagai bekas pejuang kanser, tidak mustahil sel itu akan kembali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




