Dulu di trek, kini di pejabat – Zaidatul mahu jadi suara atlet

Dulu di trek, kini di pejabat – Zaidatul mahu jadi suara atlet

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut negara, Zaidatul Husna Zulkifli yakin mampu menggalas tanggungjawab selaku Pengurus Besar baharu Olahraga Malaysia (MA) terutama dalam menjaga kebajikan atlet supaya menjadi lebih baik.

Jelasnya, beliau pernah bergelar pelari kebangsaan dan daripada pengalaman itu, sudah pasti dapat membantu dirinya menjadi orang tengah serta lebih cepat mencari solusi sekiranya timbul apa-apa permasalahan.

Selain itu, Zaidatul akan melihat semula skop kerjanya sebelum melakukan beberapa langkah demi memastikan sukan olahraga Malaysia terus maju selepas ini.

“Sebab saya bekas pelari kebangsaan, jadi saya lebih memahami atlet dan itu boleh membantu saya mendengar suara mereka. Sebab itu lebih penting sekarang ini.

“Untuk tugasan, mungkin saya akan mengurus bahagian pentadbiran dan mengatur semula strategi yang berkaitan dengan atlet dan pihak pengurusan supaya segalanya berjalan lancar serta boleh menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.

Tambahnya, beliau mengakui gementar apabila diberikan peranan besar itu dalam MA, namun kepercayaan daripada pihak lain memberikan keyakinan untuk dirinya terus melangkah dan melakukan yang terbaik.

“Sebenarnya saya takut juga sebab tanggungjawab ini besar selaku Pengurus Besar MA dan ini bukanlah tugas biasa. Saya pula masih dikategorikan muda untuk jawatan ini tetapi Nurhayati Karim (bekas Pengurus Besar MA) percaya saya boleh lakukannya.

“Jadinya, saya akan cuba sedaya upaya menjalankan amanah yang diberikan kepada saya ini,” katanya.

Untuk makluman, Zaidatul antara muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis MA dan dengan hadirnya bekas atlet negara itu, pasti akan memperkukuh struktur pentadbiran.

Antara yang diberi kepercayaan ialah bekas ratu heptatlon negara, Datuk Zaiton Othman, bekas pelari pecut wanita negara, G Shanti, bekas jaguh lompat bergalah, Roslinda Samsu, Zaidatul, dan tokoh sukan berpengaruh, Datuk Seri Harjeet Singh.

Untuk rekod, Zaidatul Husna ialah kakak kembar kepada pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dan pernah bergiat aktif di pentas antarabangsa tetapi terpaksa bersara awal kerana kecederaan yang dialami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top