Duesseldorf: Dikritik dan dihina dengan isu perkauman kerana gagal menjaringkan penalti ketika England tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020, Bukayo Saka memadamkan mimpi ngeri itu dengan jaringan penyamaan yang hebat dan menyempurnakan penalti menentang Switzerland di suku akhir.
“Untuk bangkit dari sesuatu seperti itu sangat sukar. Saya menjadikan perkara itu untuk saya lebih kuat. Hari ini saya mengambil peluang itu dan saya gembira,” kata pemain terbaik England itu.
Berusia 19 tahun semasa England tewas menerusi penentuan penalti kepada Itali di Wembley, keyakinan Saka mungkin boleh dihancurkan oleh kata-kata hinaan yang diterimanya bersama pemain berkulit hitam yang lain secara di atas talian.
Namun, dia pulih dengan cepat – dibantu oleh sokongan jurulatih Gareth Southgate, kasih sayang dari penyokong yang memuncak dan tindak balas kepada mereka menimbulkan isu perkauman untuk menunjukkan prestasi cemerlang bersama Arsenal dalam Liga Perdana dan untuk England.
Kini Saka adalah seorang pemain yang popular dan pada usia 22 tahun, hampir menjadi pemain senior dalam pasukan kebangsaan, apabila membuat 38 penampilan dan 12 gol.
Tumpuan penuh terarah kepadanya ketika dia melangkah untuk mengambil penalti ketiga England, tersenyum lebar ketika berjaya merembat bola ke sudut gawang Switzerland.
“Kali terakhir saya mengambil sepakan penalti di Euro, anda semua tahu apa yang berlaku. Hari ini saya sangat berbangga dengan semua orang dan bagaimana kami berjaya mengatasinya,”
“Saya merasakan kami menguasai keseluruhan permainan, peluang (untuk gol) akan datang. Dan ia datang dan saya mengambilnya, jadi saya bangga dengan diri saya untuk itu.”
Ketua jurulatih Southgate menambah: “Saya memberikannya pelukan erat di tengah padang. Dia seorang budak istimewa, seronok bekerja dengannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




