Dulu dipersoal, kini jadi mentor

Dulu dipersoal, kini jadi mentor

BAGI sesetengah orang, bidang kecantikan sekadar minat. Namun bagi Nabiha Osman, 29, ia menjadi titik perubahan hidup yang membawanya melangkah lebih jauh sehingga ke pentas antarabangsa.

Bekas pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) itu membuktikan bahawa usaha dan kesungguhan mampu meletakkannya setanding penata rias profesional lain di pasaran. Bermula hanya dengan minat, bidang kecantikan akhirnya mengubah hala tuju hidup Nabiha atau lebih mesra disapa Anne daripada individu biasa kepada usahawan spa.

Anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang kecantikan sebelum melanjutkan pengajian di KKSP pada 2016. Keputusannya memilih bidang kemahiran pada awalnya kurang dipersetujui keluarga yang mengharapkan beliau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau bekerja dalam sektor kerajaan.

“Kalau ikutkan keluarga, mereka mahu saya jadi guru atau kerja tetap. Bila saya pilih kemahiran, mereka tertanya-tanya masa depan saya macam mana. Tapi pensyarah banyak beri semangat dan inspirasi sehingga saya mampu sampai ke tahap ini,” katanya.

Nabiha (kanan) membuat persediaan menerima pengunjung ke spa yang diuruskannya.

Nabiha (kanan) membuat persediaan menerima pengunjung ke spa yang diuruskannya.

Kesungguhannya tidak sia-sia apabila beliau berjaya mewakili Malaysia dan meraih tempat dalam kelompok Top 5 Cambodia Beauty Olympic. Namanya terus mencuri perhatian apabila dinobatkan juara Pertandingan MIVA bagi kategori M3L: Makeup Artistry – Incomplete Angle Special Effect Makeup yang berlangsung di KLCC dan disertai peserta luar negara.

Pengiktirafan tersebut bukan sahaja mengangkat bakatnya, malah membuka lebih banyak peluang untuk beliau mengembangkan perniagaan serta menjadikan industri kecantikan sebagai kerjaya profesional.

Selepas hampir sedekad menimba pengalaman bekerja di beberapa lokasi termasuk Johor, Singapura dan Klang, Nabiha memilih untuk kembali ke tempat asalnya menuntut ilmu. Bagai sirih pulang ke gagang, beliau kini kembali ke KKSP bukan sebagai pelajar, tetapi sebagai usahawan dan Mentor Alumni.

Sebagai Pengurus Biha 96 Enterprise di Sungai Petani, beliau kini menyelaras operasi Spa Cempaka & Beauty Centre di kolej berkenaan. Kepulangannya bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi satu bentuk sumbangan semula kepada institusi yang pernah membentuk dirinya.

“Dulu saya belajar di sini, sekarang saya buka spa di kolej. Saya mahu pelajar dapat rasa pengalaman sebenar bekerja sambil belajar,” katanya.

Melalui Program Inkubator yang dilaksanakan, Nabiha menyediakan ruang kepada pelajar menjalani latihan praktikal berasaskan konsep keusahawanan. Pelajar bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal, malah didedahkan kepada aspek pengurusan pelanggan dan operasi perniagaan.

Nabiha memartabatkan bidang kecantikan ke arah masa depan serta kerjaya menguntungkan.

Nabiha memartabatkan bidang kecantikan ke arah masa depan serta kerjaya menguntungkan.

Menurutnya, pendekatan itu memberi kelebihan kerana pelajar dapat menimba pengalaman sebenar selain berpeluang menjana pendapatan sepanjang tempoh latihan

Dalam tempoh lima bulan pertama operasi, spa tersebut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan sambutan positif daripada pelanggan. Perkhidmatan yang ditawarkan pada harga berpatutan serta layanan mesra menjadi antara faktor tarikan.

Setakat ini, Nabiha memperoleh pendapatan purata antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan bergantung kepada musim cuti dan perayaan. Walaupun angka tersebut sederhana, beliau melihatnya sebagai asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.

Dalam perancangan seterusnya, beliau menyimpan hasrat untuk menghasilkan produk kecantikan jenama sendiri. Namun beliau menyedari proses tersebut memerlukan perancangan rapi termasuk keperluan kuantiti pesanan minimum (MOQ) serta kerjasama dengan pengeluar yang mampu menjamin kualiti secara konsisten.

Pengalaman bekerja di pelbagai tempat sebelum ini banyak mematangkan dirinya dalam mengurus perniagaan. Bagi Nabiha, kejayaan bukan semata-mata diukur melalui keuntungan, tetapi pada kemampuan memberi kembali kepada komuniti dan membuka laluan kepada generasi muda.

Beliau percaya bidang kemahiran masih mempunyai ruang besar untuk diterokai sekiranya disertai dengan komitmen dan kesungguhan.

“Ramai yang kurang yakin dengan bidang kemahiran. Tapi bagi saya, rezeki ada di mana-mana. Cuma kita kena berani keluar dari zon selesa dan terus belajar,” katanya.

Dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif, Nabiha membuktikan dirinya mampu bangkit dan kekal relevan. Lebih penting, beliau menjadikan kejayaannya sebagai platform untuk memperkasa komuniti setempat serta memartabatkan industri kecantikan sebagai satu kerjaya yang berdaya maju dan menguntungkan.

 

 

Ringkasan AI

  • Bidang kecantikan berubah menjadi titik perubahan hidup bagi Nabiha Osman, membawanya ke pentas antarabangsa
  • Mulanya kurang dipersetujui keluarga, Nabiha membuktikan kesungguhannya dengan mewakili Malaysia dalam Cambodia Beauty Olympic dan menang juara dalam Pertandingan MIVA
  • Kembali ke Kolej Komuniti Sungai Petani sebagai usahawan dan Mentor Alumni, mengendalikan Spa Cempaka & Beauty Centre
  • Melalui Program Inkubator, Nabiha menyediakan ruang praktikal kepada pelajar dalam konsep keusahawanan
  • Mempunyai hasrat untuk menghasilkan produk kecantikan jenama sendiri, menekankan pentingnya perancangan dan kerjasama dengan pengeluar untuk kualiti
Scroll to Top