Dulu rapat, kini renggang

Dulu rapat, kini renggang

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehidupan moden serta elemen privasi menyebabkan hubungan antara jiran dan komuniti setempat semakin renggang, sekali gus menyebabkan masyarakat terlepas pandang perkara seperti kematian jiran yang tidak disedari.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, rakyat Malaysia yang tergolong dalam masyarakat timur dikenali dengan sikap prihatin.

“Trend ini (prihatin dalam masyarakat) amat ketara pada 30 hingga 40 tahun lalu yang situasinya kita boleh lihat menerusi babak filem dipaparkan ketika itu.

“Jika dulu, hubungan antara jiran amat rapat sehingga boleh mengetahui apa yang berlaku dalam hidup mereka serta mengenali ibu bapa hingga anak cucu mereka.

“Namun, trend itu semakin luntur atas faktor kehidupan moden dan elemen privasi selain ditambah dengan persepsi tidak perlu ambil tahu hal orang lain seperti pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’,” katanya dihubungi, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, gaya hidup sibuk, terutama di bandar, menyebabkan ramai tidak cakna dengan keadaan sekeliling mereka termasuk jiran.

“Ramai di antara kita yang sibuk bekerja dengan keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam. Ia menyebabkan kita mungkin tidak sempat untuk ambil tahu mengenai jiran.

“Daripada segi elemen privasi pula, ramai beranggapan orang luar, termasuk jiran, tidak sepatutnya ambil tahu kehidupan mereka menyebabkan hubungan menjadi renggang (dengan jiran),” katanya.

Beliau berkata, tiada istilah ‘busy body’ sekiranya masyarakat mengambil tahu mengenai keadaan jiran dengan bertanyakan khabar mereka.

“Apa yang dimaksudkan dengan pepatah jangan jaga tepi kain orang adalah berkaitan perkara peribadi serta maruah diri. Namun, tidak salah jika kita kerap tanya khabar jiran.

“Dengan perkembangan teknologi kini, kita juga boleh memantau keadaan jiran menerusi kumpulan sembang di media sosial.

“Sekiranya mereka tiba-tiba ‘senyap’ dan tidak membalas mesej, kita boleh ambil inisiatif melawat mereka di rumah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat wanita warga emas di Jalan Pandan Indah, Ampang, Selangor serta mayat suami isteri warga emas di sebuah rumah kedai di Kampung Sungai Ruan, Raub, Pahang, 14 Jun lalu.

Kedua-dua kes berkenaan disedari jiran yang menghidu bau busuk sebelum membuat laporan polis berhubung penemuan mayat.

Hari ini, media melaporkan, bau busuk yang dihidu jiran membawa kepada penemuan mayat guru wanita di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Johor, yang sudah reput dan dipercayai meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top