Dunia dahaga minyak

Dunia dahaga minyak

HARGA minyak jatuh pada hari Jumaat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menangguhkan tarikh akhir untuk Iran membuka semula Selat Hormuz, walaupun langkah itu hanya sedikit mengurangkan lonjakan pada hari sebelumnya susulan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa konflik tersebut akan berlarutan lebih lama daripada jangkaan awal.

Minyak mentah Brent turun 1.8 peratus pada 0230 GMT kepada $106.12 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) susut 1.5 peratus kepada $93.07.

Brent meningkat hampir 50 peratus sejak perang bermula, manakala WTI naik sekitar 40 peratus.

Jepun longgarkan sekatan arang batu

Kerajaan Jepun merancang untuk melonggarkan sementara sekatan ke atas loji janakuasa arang batu bagi mengurangkan kekurangan tenaga yang berpunca daripada perang di Timur Tengah, kata seorang pegawai kepada AFP.

Pembekal tenaga sebelum ini dikehendaki mengekalkan kadar operasi loji janakuasa arang batu yang mengeluarkan jumlah karbon dioksida yang tinggi pada atau di bawah 50 peratus.

Namun kini, kerajaan bercadang membenarkan operasi penuh loji arang batu lama yang kurang cekap selama setahun bermula tahun fiskal baharu pada April, kata pegawai kementerian industri, Takahide Soeda.

WTO: gangguan perdagangan terburuk dalam 80 tahun

Sistem perdagangan global kini berdepan ‘gangguan paling teruk dalam tempoh 80 tahun’, kata ketua World Trade Organization, Ngozi Okonjo-Iweala, pada Khamis ketika pembukaan persidangan peringkat menteri WTO.

“Susunan dunia dan sistem pelbagai hala yang kita kenali telah berubah secara tidak boleh dipulihkan,” katanya, sambil menambah: “Kita tidak boleh menafikan skala masalah yang dihadapi dunia hari ini.”

Bank Dunia sedia bertindak ‘secara besar-besaran’

World Bank berkata pihaknya bersedia menyediakan bantuan kewangan segera kepada negara pasaran sedang pesat membangun yang terjejas akibat kesan ekonomi konflik tersebut, dan menyatakan ia “bersedia bertindak secara besar-besaran.”

Pemberi pinjaman pelbagai hala yang berpangkalan di Washington itu berkata beberapa pelanggannya di negara terjejas sudah menghubungi mereka apabila krisis mula memberi kesan kepada harga komoditi dan logistik.

OECD turunkan unjuran pertumbuhan zon euro

Organisation for Economic Co-operation and Development menurunkan unjuran pertumbuhan zon euro serta meramalkan inflasi lebih tinggi bagi 2026 selepas perang di Timur Tengah menyebabkan harga tenaga melonjak.

Kumpulan yang berpangkalan di Paris itu menurunkan unjuran pertumbuhan bagi kesatuan mata wang tersebut sebanyak 0.4 mata peratus kepada 0.8 peratus. Ia sebahagian besarnya mengekalkan unjuran 2026 bagi Amerika Syarikat dan China, namun memberi amaran kesan lanjut sekiranya konflik berterusan.

Sepanyol lulus langkah tangani kesan perang

Parlimen Sepanyol meluluskan pakej besar bernilai lima bilion euro ($5.8 bilion) bagi mengekang kesan ekonomi perang Timur Tengah termasuk pengurangan besar cukai tenaga.

Poland kurangkan cukai bahan api

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api termasuk pengurangan cukai dan penetapan had harga dalam mengurangkan beban rakyat. Cukai nilai tambah (VAT) bagi petrol dan diesel dikurangkan daripada 23 peratus kepada lapan peratus dan harga maksimum akan ditetapkan setiap hari oleh kementerian tenaga.

Keyakinan pengguna Jerman merosot

Sentimen pengguna di Jerman merosot menjelang April akibat perang, menurut satu tinjauan pada Khamis, sekali gus menambah tekanan kepada ekonomi terbesar Eropah. “Pengguna menjangkakan inflasi akan meningkat semula dan pemulihan ekonomi akan terbantut akibat harga tenaga yang lebih tinggi,” kata Rolf Buerkl, ketua iklim pengguna di Institut Keputusan Pasaran Nuremberg.

Korea Selatan sedia bajet ‘masa perang’

Korea Selatan akan memperkenalkan bajet tambahan “masa perang” berjumlah $17 bilion serta memperluas pengurangan cukai bahan api susulan perang di Iran yang mendorong kenaikan harga tenaga, kata pihak berkuasa. “Kerajaan akan merangka bajet tambahan bernilai 25 trilion won bulan depan – dibiayai oleh lebihan hasil cukai – sebagai tindak balas terhadap konflik berpanjangan di Timur Tengah,” menurut kenyataan kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top