Penyanyi, Nana Mahazan gagal menahan air mata selepas berkongsi mengenai pengalaman peritnya sepanjang berkecimpung dalam industri seni.
Menerusi sebuah video di siaran radio, Nana tidak menafikan dia terlalu banyak memendam perasaan dan terguris hati dengan komen-komen netizen terhadapnya.
“Berada dalam industri seni ni tak mudah. Bila saya dah berhijrah ni orang yang tak suka tetap ada, tetapi mereka tak fikir kata-kata mereka itu bukan saja mengguris, tapi beri kesan mendalam.
“Sepanjang saya dalam industri selalu makan hati sampai fikir aku ni buruk, tak baik, memang Allah jadikan aku ni untuk dibenci manusia,” katanya dengan bercucuran air mata.
Dalam masa sama, Nana atau nama lengkapnya, Nurul Hana Che Mahazan, 42, memohon kepada netizen untuk menjaga tutur kata dan sikap agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
“Sebenarnya, kita hidup kat dunia ni saya nak kita semua bersama semua umat Islam untuk sebarkan kebaikan.
“Tapi saya fikirkan kalau lah ada orang-orang yang selalu berkata baik, Insya-Allah ramai orang yang mungkin dah tersasar nak jadi baik juga.
“Tapi orang lagi suka menghukum, caci maki dan perkara itu tidak membantu.
“Kalau boleh warganet tulis yang baik-baik sebab kita tak tahu doa yang baik itu mungkin akan berbalik kepada kita,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan semangat kepada Nana untuk tidak terus mengalah dalam industri kerana masih ramai yang memberi sokongan kepadanya.




