Dunia seni belum noktah

Dunia seni belum noktah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

SELESA menetap di Pulau Siargao, Filipina mencari makna kehidupan yang lebih mendalam dan tenang jauh dari hiruk-pikuk ibu kota yang menyesakkan dada.

Namun, komitmen dan rasa cintanya terhadap dunia seni tanah air membuatkan pelakon, Ben Amir, 35, pulang ke Malaysia semata-mata untuk menyertai Malam Gala Tayangan Filem Gantung: The Musketeers Code, baru-baru ini.

Ben berkata, kepulangannya hanya untuk tempoh dua minggu sebelum kembali ke Siargao semula.

“Saya pulang kerana filem ini sangat dekat di hati saya. Dah lama saya tunggu-tunggu filem ini. Ia antara filem yang saya tak sabar-sabar nak tonton.

“Kerjasama dengan pengarah, Nadia Khan (Nedo) dan Mamu Vies (penerbit eksekutif) menjadi antara sebab utama saya begitu bersemangat.

“Bila mereka tawarkan peranan ini pun, saya dah tahu dah cerita ni akan jadi satu fenomena sebab kita tahu sejarah siri Gantung yang meletup sebelum ini,” katanya

Menariknya, Ben memegang watak penting dalam filem ini, menggantikan watak asal yang pernah dibawa oleh Randy Pangalila dan ia menjadi satu cabaran besar buatnya.

“Salah satunya orang akan bandingkan saya dengan Randy. Saya perlu bawa watak ketua kumpulan. Saya tak kisah dan cuba bawa dengan watak sendiri.

“Apa pun watak yang dibawakan saya lebih menepati versi asal dari novel. Saya cuba bawa watak ini ikut buku, bukan sekadar ikut versi lama.

“Penggambaran dibuat dua tahun lalu. Saya rasa kalau dari segi filem, dua tahun itu masuk akal juga,” katanya.

Gantung: Musketeer Code menceritakan kisah empat sahabat baik iaitu Gibbs, Ray, Troll dan KJ yang melalui tahun akhir di salah sebuah sekolah elit.

Mereka dituduh menjadi punca kematian seorang pelajar perempuan yang menggantung diri di auditorium sekolah.

Bercerita mengenai karier lakonannya selepas ini, Ben menjelaskan bahawa dia hanya memperlahankan rentak dan bukan mengucapkan selamat tinggal terhadap bidang terbabit.

“Cuma saya kini lebih memilih dalam menerima tawaran berlakon. Saya akan terus aktif dalam dunia seni, tapi pada masa sama memberi lebih ruang kepada kehidupan peribadi dan perniagaan di sana.

“Kalau setahun hanya dua atau tiga filem, saya okey. Selebihnya saya akan fokus dekat sana. Mungkin juga dalam dua atau tiga bulan saya akan bekerja di Malaysia, manakala selebihnya saya berada di sana.

“Saya kini memilih projek lakonan, terutama drama bersiri. Saya dah penat berlakon drama. Hari-hari ada banyak babak. Sehari kadang-kadang sampai 30 babak, dari pagi sampai malam. Saya dah tak larat,” katanya.

Dia kini lebih cenderung kepada projek filem yang mempunyai jadual kerja lebih teratur dan tidak sepadat drama.

“Kalau buat filem, kadang-kadang satu hari cuma satu babak. Jadi, tenaga saya lebih terurus. Saya juga kini belajar bahasa Tagalog. Penduduk Siargao sebenarnya tidak menggunakan bahasa Tagalog sebagai bahasa utama.

“Macam kita di Malaysia, bahasa Malaysia itu satu, tapi negeri ada loghat masing-masing. Di sana pun macam itu. Jadi, saya tengah belajar loghat tempatan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia sudah mula mengambil langkah awal untuk menembusi pasaran industri lakonan di Filipina.

“Sebenarnya itu sebahagian daripada perancangan. Sebelum balik ke Malaysia, saya sempat berjumpa ejen dan pengurus artis di sana.

“Mereka kata saya ada pakej, ada pengalaman berlakon dan kalau saya terus belajar bahasa Tagalog, mungkin dalam setahun dua lagi, insya-Allah saya boleh masuk pasaran sana.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top