Duplantis dedah rahsia 1sm

Duplantis dedah rahsia 1sm

London: Selepas memecahkan rekod dunia lompat bergalah lelaki sebanyak 14 kali antara 2020 hingga 2025 dengan catatan terbaru 6.30 meter (m) di Kejohanan Dunia di Tokyo pada September, bintang olahraga yang mewakili Sweden, Armand ‘Mondo’ Duplantis ditanya mengapa dia memilih untuk memecahkan rekod dunia sedikit demi sedikit.

Senyuman yang terukir di wajahnya jelas menunjukkan atlet kelahiran Amerika Syarikat itu sedar apa yang bermain di fikiran ramai pihak.

“Saya rasa ada banyak sebab di sebaliknya.

“Sudah tentu, alasan biasa yang orang fikir naik 1 sentimeter (sm), dia dapat bonus, saya dapat duit, apa-apalah,” kata atlet berusia 25 tahun itu merujuk kepada ganjaran tambahan yang ditawarkan kepada atlet yang memecahkan rekod dunia.

Bagaimanapun dia tidak menafikan mengenai ganjaran yang diterimanya, jumlah bayaran yang berubah mengikut tawaran di setiap kejohanan. Sebagai contoh, Duplantis membawa pulang AS$100,000 (RM 469,000) bagi rekod dunianya di Tokyo, selain wang kemenangan sebagai juara.

Namun, menurut juara Olimpik dua kali di Tokyo 2020 dan Paris 2024 yang juga mengekalkan gelaran dunia ketiganya dengan rekod terbaru itu, ada perkara lebih besar daripada sekadar ganjaran kewangan.

“Memecahkan rekod dunia adalah sesuatu yang saya boleh berikan kepada peminat, dan saya boleh kongsikan detik itu dengan seluruh stadium.”

Tiada siapa dapat menafikan keterujaan dalam stadium setiap kali Duplantis beraksi.

“Selalunya mereka tak kisah pun berapa banyak saya pecahkan rekod itu. Mereka cuma mahu lihat rekod dunia baharu. Mereka mahu lihat sesuatu yang belum pernah dilakukan, walaupun hanya 1sm.”

“Ia membolehkan saya berkongsi dan mencipta detik-detik itu bersama peminat dan penonton,” katanya.

Antara peminat dan penonton itu termasuk rakan-rakan, keluarga dan tunangnya yang menjadi tempat dia berlari untuk meraikan setiap kejayaan mereka yang mengetahui betapa besar usaha yang diperlukan untuk mencapai prestasi luar biasa itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top