Madrid: Jaguh lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis dan gimnas Amerika Syarikat (AS), Simone Biles, berkongsi penghormatan tertinggi pada majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus yang diadakan di Madrid, awal pagi tadi.
Juara Olimpik dua kali dan pemegang rekod dunia, Duplantis, dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Tahunan pada majlis ulang tahun ke-25 anugerah berprestij tersebut, manakala Biles menerima anugerah Atlet WanitaTerbaik.
Duplantis, 25, meraih anugerah tersebut mengatasi legenda tenis Novak Djokovic, juara dunia Formula Satu Max Verstappen, dan perenang Perancis Leon Marchand.
Beliau menjadi atlet kedua dari sukan olahraga selepas Usain Bolt yang memenangi anugerah tersebut.
Dianggap antara pelompat bergalah terhebat sepanjang zaman, Duplantis memenangi pingat emas Olimpik buat kali kedua berturut-turut di Paris, memecahkan rekod dunianya sendiri buat kali kesembilan, sebelum memecahkannya sekali lagi pada kejohanan Liga Berlian di Silesia sebulan kemudian.
“Saya amat berbesar hati memenangi Laureus pertama saya, ini anugerah tertinggi yang semua atlet impikan. Saya tahu, ini kali keempat saya dicalonkan – dan itu membuktikan, memenangi Laureus lebih sukar daripada memenangi pingat emas Olimpik,” seloroh Duplantis.
Simone pula memenangi anugerah itu buat kali keempat, menyamai rekod milik Serena Williams selepas meraih tiga emas dan satu perak di Sukan Olimpik Paris musim panas lalu.
“Saya sangat gembira hadir ke Madrid dan menerima anugerah ini buat kali keempat. Pertama kali saya menang anugerah pada 2017 dan Laureus menjadi sebahagian daripada perjalanan saya sejak itu,” kata Simone.
“Mungkin ada seorang gadis kecil yang menonton seseorang seperti saya di televisyen dan membuat keputusan bahawa dia juga boleh melakukannya.”
Seorang lagi gimnas, Rebeca Andrade, memenangi Anugerah Kebangkitan Semula Tahun Ini selepas memenangi pingat emas dalam acara lantai di Paris.
Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, yang melalui musim penuh pertama cemerlang bersama kelab dan negaranya, memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan selepas membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024 pada usia hanya 17 tahun.
Kelab Real Madrid yang menjuarai Liga Juara-Juara kali ke-15 dan La Liga, memenangi Anugerah Pasukan Terbaik manakala legenda tenis Rafael Nadal, yang bersara pada November lalu pada usia 38 tahun, diberi penghargaan Ikon Sukan dan juara luncur ombak Kelly Slater menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
© New Straits Times Press (M) Bhd