Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyeru Kementerian Kesihatan (KKM) agar tidak sekadar `melepaskan batuk di tangga’ dalam menangani masalah HIV yang dilihat semakin parah melibatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan muda.
DUPP gesa KKM tangani HIV mahasiswa

Foto: SatuBerita
Ketuanya, Datuk Haji Ahmad Yahaya menegaskan KKM tidak boleh bergantung kepada pemberian ubatan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) sahaja kerana ia secara tidak langsung umpama menggalakkan gejala songsang untuk terus berkembang kerana mempunyai langkah pencegahan.
Beliau turut mendakwa pemberian ubatan PrEP dalam projek rintis beberapa tahun lalu membuktikan kegagalan KKM dalam mengatasi masalah sebenar isu jangkitan HIV.
“DUPP sekali lagi ingin mengingatkan Kerajaan bahawa usah sekadar fokus kepada perubatan PrEP semata-mata meskipun data klinikal membuktikan ia sangat berkesan mencegah jangkitan HIV.
“Permasalahan utama negara ketika ini adalah perkembangan golongan songsang khususnya gay yang menjadi penyumbang utama kepada penularan jangkitan HIV dalam negara.
“Tidak mustahil peratusan pelajar IPT yang dijangkiti HIV itu adalah disebabkan penglibatan mereka dengan seks songsang,” kata Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, DUPP menggesa KKM bersama badan berkuasa lain berbincang mencari pendekatan terbaik membendung masalah ini agar tidak bertambah parah.
“DUPP menggesa KKM supaya duduk semeja bersama-sama pemegang taruh yang lain seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengajian Tinggi bagi meneliti pendekatan terbaik menangani isu jangkitan HIV khususnya melibatkan para pelajar IPT.
“Sudah sampai masanya isu HIV ini diteliti termasuklah mengambil kira kebejatan moral dengan gejala seks songsang yang begitu pesat berkembang kebelakangan ini,” jelasnya.
Artikel lain: 222 pelajar IPT positif HIV tahun lalu, paling ramai berusia 18-19 tahun
Untuk rekod, media melaporkan sejumlah 1,091 pelajar IPT disahkan menghidap HIV dalam tempoh 2022 sehingga 2024 dengan rekod tahun lalu sahaja berjumlah 222 orang dan majoriti mereka terjebak pada usia awal remaja, 18-19 tahun lagi.
Sumber: Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat