am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Thailand diberkas ketika cuba menyeludup lebih 300 kilogram dadah syabu bernilai lebih RM10 juta melalui kawasan hutan Durian Burung, Padang Terap, Kedah.
Sumber berkata, suspek berusia 30-an diberkas sekitar jam 4.30 pagi oleh sepasukan anggota tentera dari Kem Sahara Durian Burung, Kedah.
“Pemeriksaan lanjut menemui sembilan guni putih berisi ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine (syabu) yang dibungkus dalam 331 peket seberat 1 kilogram (kg) setiap satu.
“Semua dadah itu disembunyikan dalam guni makanan ayam. Setiap guni itu pula mengandungi puluhan bungkusan paket lutsinar pelbagai warna antaranya emas, hitam, hijau dan ungu berisi syabu.
“Pada hadapan paket itu tertera tulisan `dried durian’ ( durian beku kering ), `win 99′, `a+’ dan `jinyu’ ( emas dan jed) yang dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Susulan itu suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 selepas ujian saringan awal polis menunjukkan keputusan positif untuk Meth dan Amphetamine.
© New Straits Times Press (M) Bhd



