KUALA LUMPUR: Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menyokong kenyataan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang mencadangkan supaya rakyat Israel dipindahkan ke Greenland.
Ia dibuat susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencadangkan supaya penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dipindahkan ke Mesir dan Jordan.
“Negara-negara Islam dan beberapa negara eropah lain menolak cadangan ini. Mereka mengatakan bahawa rakyat Palestin perlu kekal di sana (Gaza), ia adalah rumah mereka.
“Menteri Luar kami dalam temu ramahnya bersama sebuah stesen televisyen, beliau mencadangkan kepada Trump bahawa daripada penduduk Palestin dipindahkan ke negara lain, beliau sebaliknya boleh gunakan Greenland dan minta rakyat Israel untuk berpindah ke sana.
“Jika mereka berpindah ke sana, masalah tersebut akan selesai,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Makan Tengahari di Kedutaan Iran, di sini semalam.
Tambah beliau, Iran akan terus menyokong perjuangan dan pembebasan sepenuhnya penduduk Palestin, walaupun dengan pelantikan Ahmed al-Sharaa sebagai Presiden Syria yang dilihat tidak begitu mesra terhadap Iran
“Kami menyokong kumpulan pejuang Islam dan penduduk di Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka. Ini kerana tanah Palestin itu merupakan milik penduduk Palestin. Iran akan terus menyokong mereka.
“Terdapat banyak cara untuk menyokong mereka. Bantuan daripada Syria bukan lah satu-satunya cara, terdapat banyak lagi cara yang kita boleh gunakan untuk menyokong penduduk-penduduk Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/1/2025








