“Saya tak buat kerja percuma, siapa tak nak duit?”
Demikian kata usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman apabila mengakui hanya jenama Kunafa Aiwahhh mampu membayar dirinya bersama keluarga sebagai duta termahal.
Menurut Aliff Syukri, beliau menerima tawaran bukan sahaja kerana kualiti produk pencuci mulut itu, tetapi juga bayaran lumayan yang ditawarkan.
“Saya rasa tiada siapa yang mampu bayar saya untuk jadi duta produk seperti Ojen, sebab saya sendiri sudah kaya raya. Tetapi walaupun kami adalah sahabat lama, kerja tetap kerja.
“Saya tidak akan buat kerja secara percuma. Siapa tidak mahu duit? (ketawa). Mulanya dia agak terkejut dengan harga yang saya tetapkan, tetapi akhirnya bersetuju kerana saya datang dengan pakej satu keluarga. Kunafa Mangga Lima sedap, bayarannya pun sedap jadi saya terima,” jelasnya.
Tambahnya, kolaborasi itu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak kerana masing-masing mempunyai kelompok pengikut yang berbeza.
“Saya banyak terima tawaran untuk jadi duta dan kolaborasi bersama banyak jenama, tetapi saya tolak kerana selain sibuk, mereka tidak mampu untuk bayar saya.
“Kebanyakan jenama hanya mahu menumpang populariti saya dan menarik perhatian pengikut saya yang kebanyakan berusia 40-an dan ke atas.
“Bersama Ojen berbeza, selain mampu bayar saya, dia sendiri sudah popular dan mempunyai ramai pengikut dalam kalangan gen Z.
“Pengikut dia kebanyakan orang muda, jadi kerjasama ini kami saling menumpang antara satu sama lain. Jadi, saya tidaklah rasa seperti dipergunakan, sebab saya pun mempergunakan dia (ketawa),” katanya lagi.
“Saya tak buat kerja percuma, siapa tak nak duit…”
Sementara itu, pengarah Aiwahhh Global Sdn. Bhd., Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli atau lebih dikenali sebagai Ojen Aiwahhh, berkata pemilihan Aliff Syukri tepat kerana beliau cukup sinonim dengan produk berasaskan mangga.
“Aliff Syukri popular dengan jeruk mangga, jadi gandingan antara beliau dan produk terbaharu, Kunafa Mangga Lima sangat serasi.
“Sebenarnya, kami sahabat lama dan beliau yang mencadangkan untuk saya mengeluarkan kunafa perisa mangga memandangkan di Malaysia ramai peminat buah mangga.
“Beliau menunjukkan bukti jualan jeruk mangga yang mencecah jutaan ringgit sebulan, jadi saya yakin bahawa kunafa berasaskan buah mangga memiliki potensi yang besar,” ujar Ojen.
Artikel lain: Aliff Syukri terima Anugerah Ikon Usahawan 2025 -“Alhamdulilah rezeki tak disangka..”
Akuinya, bukan mudah mendapatkan persetujuan kerana Aliff Syukri belum pernah menjadi duta mana-mana produk makanan sebelum ini.
“Aliff Syukri sekeluarga merupakan duta Kunafa Aiwahhh paling mahal pernah saya bayar. Walaupun bayarannya mahal, beliau sangat komited dan memberi komitmen seratus peratus.
“Bahkan sebelum bersetuju, beliau meletakkan syarat untuk Kunafa Mangga Lima harus melepasi piawaian tekaknya terlebih dahulu kerana mereka sekeluarga memang pelanggan Kunafa Aiwahhh. Alhamdulillah, selepas merasai sendiri, beliau terus memberikan persetujuan,” jelasnya.
Kerjasama itu turut menampilkan isteri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida, serta anak-anaknya Ammar Ahyyan, Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham.