zaky@bh.com.my
PETALING JAYA: Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) komited membantu kerajaan meningkatkan industri tenusu negara terutama dalam mencapai 100 peratus tahap sara diri (SSL) pengeluaran susu segar tempatan menjelang 2025.
Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta, berkata syarikat tenusu itu akan meningkatkan bekalan susu segar tempatan yang berkualiti di negara ini, dengan tahap SSL semasa adalah 62 peratus.
“Sebagai pembeli susu segar tempatan terbanyak daripada pusat pengumpulan susu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Malaysia, DLMI komited untuk membantu penternak tenusu tempatan meningkatkan hasil dan kualiti susu mereka termasuk mengembangkan sumber pendapatan vendor kami.
“Malah, peluang untuk bekerjasama dengan DVS, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Kedutaan Belanda ini dapat membantu penternak yang berpotensi dari kedua-dua negara berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai memorandum kerjasama (MoC) antara DLMI bersama DVS di Petaling Jaua, semalam.
Ia disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Belanda ke Malaysia, Eva Oskam dan Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.
Sementara itu, Ronald berkata, MoC itu berbentuk jalinan kerjasama berasaskan konsep kerjasama awam swasta yang seharusnya disokong dan diteruskan malah wajar dijadikan model untuk dicontohi pemain industri lain.
“Kejayaan peningkatan pengeluaran susu segar daripada 27 juta liter pada 2010 kepada hampir 42 juta liter pada 2020 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11, dijadikan landasan terbaik untuk kerajaan terus meningkatkan pengeluaran susu segar dalam RMKe-12 iaitu antaranya menerusi pembangunan beberapa lembah tenusu.
“Justeru, memorandum kerjasama ini tepat pada masanya dan diharapkan agar dapat memacu pelaksanaan program yang sudah dirancang kerajaan dan pihak swasta demi kelestarian industri tenusu negara,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan positif industri tenusu itu bukan sahaja dirasai Mafi, malah turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Jun 2019.
“Menerusi program ini, produk susu yang diperbuat daripada 100 peratus susu tempatan dibekalkan kepada pelajar sekolah rendah yang terpilih.
“Situasi ini secara tidak langsung akan merangsang lagi pembangunan industri tenusu negara ke suatu fasa kejayaan yang lebih meyakinkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd