E-Boat beril nafas baharu bot penambang Seberang Takir

 E-Boat beril nafas baharu bot penambang Seberang Takir

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang meneliti penggunaan bot penambang elektrik berasaskan bateri atau E-Boat Penambang sebagai langkah mentransformasikan perkhidmatan bot penambang Seberang Takir agar lebih moden, selamat, mesra alam dan berdaya saing.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mempunyai kepakaran dalam teknologi bateri, mobiliti elektrik dan inovasi pengangkutan hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kajian sedang dijalankan bagi menilai aspek teknikal, keselamatan, kos pelaksanaan, penyelenggaraan serta kesesuaian operasi E-Boat di muara Sungai Terengganu.

Katanya, kajian itu turut mengambil kira impak terhadap pengusaha bot penambang sedia ada sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Jika hasil kajian menunjukkan impak yang positif, inisiatif ini berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan bot penambang Seberang Takir sebagai sistem pengangkutan air yang moden, selamat, mampan serta mampu mengurangkan kos operasi dan pelepasan karbon dalam jangka panjang.

“Pada masa sama, ia mampu memperkukuh kedudukan bot penambang sebagai produk pelancongan ikonik Terengganu,” katanya ketika menjawab soalan Khazan Che Mat  ( Bersatu – Seberang Takir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai perancangan kerajaan negeri menangani kemerosotan operasi bot penambang Seberang Takir yang berdepan pelbagai isu termasuk pematuhan pelesenan, keselamatan dan keadaan kemudahan jeti. – UTUSAN

 

Scroll to Top