Kuala Lumpur: Ekonomi digital Malaysia khususnya sektor kreatif digital mencatat pencapaian yang ketara pada 2024 dengan esport (sukan elektronik/e-sukan) dan animasi menerajui pertumbuhan itu sepanjang tahun.
Ketua dan Naib Presiden Kanan Bahagian Transformasi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata, kejayaan tahun ini menekankan daya saing Malaysia dalam industri permainan global dan keupayaannya untuk menarik peluang perniagaan antarabangsa.
Memetik Laporan Industri Digital Malaysia (MDIR), beliau berkata, industri kreatif digital Malaysia menunjukkan pertumbuhan stabil, mencatatkan hasil RM6.3 bilion untuk 2022 termasuk RM850 juta dalam eksport, menyokong lebih 11,000 pekerjaan, mencerminkan pertumbuhan daripada RM5.56 bilion dalam hasil pada tahun berkenaan.
Menyedari potensi e-sukan, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM30 juta tahun ini untuk menyokong pembangunannya dan mengumumkan tambahan RM20 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk mengukuhkan ekosistem sukan elektronik, memfokuskan kepada pembangunan bakat dan menaik taraf arena e-sukan.
Melangkah ke hadapan, MDEC menyasarkan untuk memacu inovasi dan mengembangkan industri kandungan digital Malaysia melalui perkongsian Asean dan pembangunan teknologi baharu muncul seperti produksi secara maya, strategi seiring dengan persediaan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025
Sektor e-sukan Malaysia mendapat sambutan baik di peringkat global apabila mencatatkan potensi jualan berjumlah AS$67.11 juta di Tokyo Game Show (TGS) 2024.
MDEC dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) melancarkan Pavilion Malaysia di TGS berperanan sebagai platform untuk 10 syarikat permainan terkemuka Malaysia untuk mempamerkan inovasinya kepada audiens antarabangsa.
Acara empat hari itu menampilkan penyertaan daripada 985 syarikat di seluruh dunia, memberikan syarikat Malaysia peluang untuk bekerjasama dengan pembangun permainan global, pencipta kandungan dan syarikat teknologi.
Ekosistem membabitkan e-sukan Malaysia khususnya dalam Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Liga MPL Malaysia mencatatkan lebih 630,000 penonton pada awal tahun ini, Malaysia juga menjadi tuan rumah kejohanan dunia pertama MLBB, M1 dan sudah bersedia untuk menganjurkan acara antarabangsa utama yang seterusnya iaitu M6.
Pada 15 November tahun ini, pasukan MLBB Malaysia mencipta sejarah dengan menewaskan Filipina 2-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Esports Dunia IESF 2024 di Riyadh, Arab Saudi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




