hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kertas siasatan membabitkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk pertuduhan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan pihaknya komited meneruskan usaha menangani isu rasuah yang berkait dengan pengurusan e-waste dan sisa plastik.
“Suruhanjaya ini sedang menunggu pelaksanaan pertuduhan oleh AGC ke atas kedua-dua pegawai kanan JAS berkenaan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS dibentangkan pada 26 Februari lalu, manakala bagi Timbalan Ketua Pengarah JAS pada 6 Mac lalu.
Katanya, isu pengurusan e-waste dan sisa plastik adalah antara cabaran yang sudah lama dihadapi, khususnya di kawasan yang terkesan dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan yang tidak teratur.
Aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah turut memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus menuntut tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan.
“Masalah e-waste dan sisa pepejal plastik sudah lama dihadapi oleh rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun telah banyak aduan pencemaran.
“Akhirnya SPRM bertindak dengan menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah boleh memberi implikasi yang lebih luas, termasuk kepada kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam.
Azam mempengerusikan Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste, dengan langkah utama yang diputuskan ialah mengharamkan pengimportan e-waste sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Februari 2026.
Penubuhan pasukan petugas itu dibuat susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk laporan ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.
Pasukan petugas membabitkan 12 agensi termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




