EAIC pandang serius kematian dalam tahanan

EAIC pandang serius kematian dalam tahanan

luqman.arif@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memandang serius isu kematian dalam tahanan, termasuk tiga kes yang dilaporkan baru-baru ini.

EAIC menegaskan setiap siasatan berhubung kematian dalam tahanan ialah bebas dan telus, berdasarkan kuasa penyiasatan yang diperuntukkan mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Jawatankuasa kajian kematian dalam tahanan yang ditubuhkan pada 1 Mei lalu dan dipengerusikan Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali akan menjalankan penelitian terperinci terhadap kes yang berlaku.

“Jawatankuasa ini menentukan dan menetapkan bidang tugas bagi tindakan melaksanakan kajian ini yang akan membabitkan, antara lain pengumpulan data dan statistik kes kematian dalam tahanan agensi penguatkuasaan menerusi seliaan EAIC.

“Ia termasuk mengenal pasti punca kematian dalam tahanan, kajian perbandingan undang-undang dan peraturan lokap negara-negara lain dan kajian lapangan terhadap lokap terpilih di seluruh negara dengan penumpuan akan diberikan kepada lokap yang pernah berlakunya kes kematian dalam tahanan.

“Hasil kajian ini akan diangkat kepada kerajaan bagi pengesyoran penambahbaikan prosedur pengendalian tahanan dalam lokap agensi penguatkuasaan seliaan EAIC supaya dapat menangani isu-isu yang berkaitan dengan sewajarnya,” kata EAIC dalam kenyataan, hari ini.

EAIC berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, Kasthuri Patto, yang mempersoalkan sama ada agensi berkenaan mengambil sebarang tindakan terhadap tiga kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan dalam tempoh 40 hari sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top