fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Siasatan terhadap 34 pegawai penguat kuasa termasuk polis, yang didakwa ‘dibela’ Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, memadai dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru, Pengerusi Suruhanjaya integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya tidak mengambil bahagian dalam siasatan itu.
Beliau berkata, berbanding EAIC, PDRM mempunyai akses yang lebih luas termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Bagaimanapun, katanya, EAIC akan memantau siasatan sehingga kes diselesaikan.
“Kami juga akan mencadangkan syor dan pandangan kepada PDRM jika perlu,” katanya selepas Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengesyaki 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Nicky Liow.
Beliau berkata, pihaknya ada butiran maklumat mengenai mereka dan kecewa dengan tindakan ‘orang dalam’ di PDRM yang membocorkan maklumat sehingga membolehkan Nicky Liow,33, mengetahui serbuan yang bakal dilakukan.
Seorang bekas timbalan pendakwa raya juga dipercayai berada dalam kawalan lelaki itu.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan Nicky Liow yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram dan jenayah komersial.
Pengasas Winner Dynasty Group dengan alamat terakhirnya di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor itu dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian besar dan terbabit banyak penipuan dan scam dengan suspek adalah seorang yang berpengaruh serta mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai agensi penguat kuasa.
Dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka di Johor mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sebelum ini, Nicky Liow dilaporkan pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd