Ebby Yus, Usop Gahai & Fuad Nasir Angkat Loghat Nogori Dalam ‘Jom Balik Raya’

Ebby Yus, Usop Gahai & Fuad Nasir Angkat Loghat Nogori Dalam ‘Jom Balik Raya’

Suasana Aidilfitri tahun ini bakal dimeriahkan dengan kemunculan single baharu berjudul Jom Balik Raya, hasil kolaborasi pelawak terkenal Ebby Yus bersama dua bakat muda, Usop Gahai dan Fuad Nasir.

Lagu tersebut hadir dengan suntikan loghat Negeri Sembilan yang menjadi identiti utama karya berkenaan, sekali gus memberikan warna tersendiri dalam deretan lagu raya tahun ini. Menariknya, idea asal penghasilan lagu itu tercetus daripada Fuad Nasir sebelum mendapat sokongan daripada Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta bagi karya ciptaan Pakya selaku komposer eksklusif.

Menurut Pakya, pihak Luncai Emas sememangnya mahu dia menghasilkan lebih banyak lagu untuk artis komedi, dan kebetulan pula Usop serta Fuad merupakan finalis program Mencari Sepahtu Yang Hilang yang pernah dinilainya sebagai juri, manakala Ebby Yus pula menjadi tenaga pengajar mereka.

“Luncai Emas memang mahu saya hasilkan lebih banyak lagu untuk artis komedi. Kebetulan Usop dan Fuad ialah finalis program Mencari Sepahtu Yang Hilang yang saya nilai sebagai juri, manakala Ebby Yus pula pernah membimbing mereka. Jadi saya lihat ini peluang terbaik untuk satukan semula guru dan anak murid dalam satu lagu,” katanya.

Pakya turut berkongsi bahawa Ebby Yus sebenarnya mempunyai kebolehan menyanyi yang mungkin tidak begitu diketahui ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak Sanggup Tengok Abang Ulang-Alik…” – Ajak Shiro Hadiahkan Restoran Kedua Buat Ebby Yus

“Ramai yang mungkin tidak tahu Ebby Yus sebenarnya ada suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Cuma sebelum ini dia kurang diketengahkan dalam bidang muzik,” katanya lagi.

Bagi Ebby Yus, peluang bekerjasama dengan Usop dan Fuad memberi keterujaan tersendiri, apatah lagi mereka berkongsi latar belakang yang sama sebagai anak Negeri Sembilan.

“Saya memang gembira dapat bergandingan dengan mereka. Selain kami berasal dari Negeri Sembilan, saya juga pernah terbabit di belakang tabir ketika mereka mula-mula muncul dahulu. Pada saya, sudah sampai masanya dialek Negeri Sembilan diketengahkan semula kerana sekarang sudah tidak ramai penyanyi yang membawa identiti itu,” ujarnya.

Bagi memastikan lagu tersebut benar-benar dekat dengan pendengar, sentuhan liriknya turut diperhalusi secara bersama oleh Ebby Yus, Fuad dan Usop.

Fuad Nasir pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan figura berpengalaman seperti Ebby Yus sebagai satu penghormatan besar buat dirinya. Menurut Fuad, penggunaan loghat Nogori dalam lagu itu sengaja dipilih bagi menampilkan kelainan, selain menyelitkan unsur nasihat secara santai.

“Kami mahu budaya bahasa kami diketengahkan supaya nampak lebih menarik. Walaupun melodinya ceria, dalam masa sama ada elemen nostalgia dan sedikit pesanan yang disampaikan secara berseloroh,” kata Fuad.

Usop Gahai pula menjelaskan idea lirik lagu tersebut banyak diambil daripada kisah dan ragam para perantau yang mahu pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran. Dalam masa sama, dia turut melihat kehadiran Ebby Yus sebagai elemen penting yang menguatkan lagi semangat lagu berkenaan.

“Harapan saya, lagu ini dapat menjadi siulan ramai tanpa mengira peringkat usia. Paling penting, saya mahu ia jadi peringatan kepada anak-anak agar tidak melupakan ibu bapa yang sedang menunggu dan merindui mereka di kampung,” jelas Ebby Yus.

Secara keseluruhan, Jom Balik Raya bukan sekadar lagu raya bermusim, sebaliknya membawa simbolik kegembiraan dan rasa syukur selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Menerusi gandingan Ebby Yus, Fuad Nasir dan Usop Gahai, lagu ini diharapkan mampu meniup semangat anak perantau untuk pulang menyambut Syawal bersama insan tersayang.

Bagi yang ingin menikmati kemeriahan loghat Nogori dalam suasana raya, video muzik rasmi Jom Balik Raya mula ditayangkan di saluran YouTube rasmi sejak 6 Mac, manakala lagunya boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac ini.

Scroll to Top