‘Eco Trail Migratory Birds’ bantu tingkat kesedaran mengenai burung hijrah – Utusan Digital

KEPALA BATAS: Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya mengenai burung hijrah, habitat serta ekosistemnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menganjurkan program Eco Trail Migratory Birds Of Penaga di sekitar Penaga dan Teluk Air Tawar, di sini semalam. 

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, program yang merupakan salah satu daripada aktiviti di bawah sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 itu dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selain penglibatan daripada komuniti nelayan setempat. 

Katanya, kira-kira 30 sukarelawan yang menyertai program itu menjalankan pemerhatian burung dari atas bot dan melalui jalan darat sementara Unit Pengawasan JAS Pulau Pinang memantau kualiti fizikal air marin di kawasan tersebut yang menjadi tarikan kepada habitat burung hijrah. 

KIRA-KIRA 30 sukarelawan menyertai program Eco Trail Migratory Birds of Penaga anjuran JAS Pulau Pinang dengan kerjasama MNS serta MBSP di Penaga dan Teluk Air Tawar semalam.

 

“Ketika ini, JAS negeri mempunyai 33 stesen pengawasan marin di Pulau Pinang yang pemantauan kualiti air marinnya dibuat sebanyak enam kali dalam tempoh setahun. 

“Pengawasan secara rutin dan berkala ini sedikit-sebanyak membantu dalam memantau secara keseluruhan impak dan punca yang memberi perubahan kepada kualiti air marin di negeri ini termasuk kawasan yang menjadi habitat semula jadi kepada burung hijrah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Selain diberikan penerangan mengenai bagaimana pengawasan kualiti air dijalankan, peserta program turut didedahkan mengenai ekosistem paya bakau serta habitat kelip-kelip oleh pakar daripada MNS. 

Menurut Sharifah Zakiah, kualiti persekitaran yang baik, semula jadi serta sumber makanan yang banyak di kawasan tersebut antara penyebab utama ia menjadi habitat kepada lebih 150 spesies burung selain turut menjadi tempat persinggahan kepada burung-burung hijrah. 

Katanya, burung-burung itu juga menjadi indikator semula jadi terhadap kualiti persekitaran di situ yang perlu dilindungi serta dipelihara secara bersama-sama. 

“Kawasan sekitar Teluk Air Tawar serta Penaga mempunyai diversiti dan populasi yang tinggi serta berpotensi untuk diwartakan sebagai kawasan perlindungan alam sekitar seterusnya menjadi tarikan untuk ekopelancongan.  

“Kemusnahan kawasan bakau dan dataran lumpur di sini mungkin menjejaskan kehadiran burung penghijrah pada masa akan datang,” ujarnya. 

Tambah Sharifah Zakiah, pihaknya juga akan meneruskan pelbagai program berbentuk kesedaran, penghayatan serta pemuliharaan alam sekitar dari semasa ke semasa. 

Antara spesies burung hijrah yang boleh dilihat di Pulau Pinang ketika ini ialah Asian Fairy Bluebird, Hairy Backed Bul-Bul, Changeable Hawk-Eagle, Red Broadbill, Asia Paradise Flycatcher, Brahminy Kite serta spesies burung terancam seperti Spotted Greenshank Tringa Guttifer.  -UTUSAN ONLINE