Kuala Lumpur: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini memulakan operasi percubaannya, sekali gus menandakan fasa terakhir kesediaan operasi bagi perkhidmatan penumpang komersial, yang disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.
Program tersebut dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd, iaitu sebuah entiti usaha sama 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Sdn Bhd, yang bertanggungjawab mengendalikan operasi dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL.
“Program operasi percubaan itu akan menilai kesediaan operasi, kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang dalam persekitaran operasi sebenar.
“Operasi percubaan yang bermula dari 7 November hingga 2 Disember itu, akan melibatkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dan sebaliknya, serta menyediakan perkhidmatan ekspres dan transit,” menurut MRL dalam satu kenyataan hari ini.
Tren unit elektrik berganda ECRL itu akan beroperasi mengikut jadual waktu penumpang komersial yang telah dirancang sepanjang program operasi percubaan, yang merangkumi pengeluaran pas masuk untuk menaiki tren dan penyediaan perkhidmatan oleh kru kabin.
Perjalanan pertama mengikut program operasi percubaan itu berlepas dari stesen Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada pukul 7.00 pagi hari ini dan tiba di stesen KotaSAS di Kuantan, Pahang pada pukul 8.28 pagi, sekali gus menamatkan perjalanan itu dalam tempoh 88 minit dengan membawa 170 penumpang, serta mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam (km/h).
Pencapaian terbaharu itu menyusuli penyelesaian peringkat penting ujian dan pentauliahan bagi projek ECRL, termasuk Ujian Integrasi Sistem serta kejayaan melaksanakan perjalanan tanpa gangguan pada 29 Oktober 2026.
Sementara itu, setakat Oktober 2026, pembinaan Fasa 1 ECRL, yang merangkumi jajaran Kota Bharu-Gombak telah mencapai tahap siap sebanyak 98.47 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




