KOTA BHARU: Penyanyi Bea Sobar Bea Eda Ezrin, 33 dan rakanya Nur Aida Mamat,33, kembali ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi selepas sembilan bulan menjalani tahanan sementara di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Sebelum itu, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan Nur Aida menjalani proses rakaman percakapan di Balai Polis Rantau Panjang lebih tiga jam selepas tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada pukul 7.50 malam.
Bagaimanapun Eda Ezrin memilih untuk pulang ke rumah ibu mentuanya di Kota Bharu.
Terdahulu, Nur Aida keluar dari Balai Polis Rantau Panjang pada 11.30 malam dengan menaiki kereta sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V.
Eda Ezrin yang memakai jubah berwarna hitam kelihatan sempat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebaik sahaja keluar dari pintu balai polis sebelum menaiki sebuah kereta jenis Honda City Hatchback keluarga mentuanya 10 minit kemudian.
Hadir sama bapanya Wan Ismail Wan Yusoff dan keluarga mentuanya.
Bagaimanapun, polis hanya membenarkan masing-masing sebuah kereta untuk mengambil penyanyi wanita sohor Kelantan itu
Nur Aida di pekarangan Balai Polis Rantau Panjang.
Sementara itu, usaha pihak media untuk menemubual Eda Ezrin gagal apabila dia sendiri dikatakan enggan bercakap dan bertemu dengan wartawan yang berkampung di depan balai polis itu.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, hanya Eda Ezrin dan rakanya Nur Aida yang dibenarkan pulang ke Malaysia hari ini selepas dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Wilayah Narathiwat.
Eda Ezrin dan rakannya itu dibenarkan pulang selepas melengkapkan proses dokumentasi.
Jurucakap Pejabat Imigresen Sungai Golok berkata, empat lagi rakyat Malaysia, suami kepada Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, suami Nur Aida iaitu Mohamad Alif Deraman, Eridieka Mohd. Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, masih ditempatkan di pejabat tersebut.
Menurutnya, empat rakyat Malaysia itu masih belum melengkapkan beberapa dokumentasi di pejabat imigresen sebelum dibenarkan pulang ke Kelantan.
Kelmarin Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin, suami bersama empat rakan
dibebaskan sepenuhnya selepas ditahan selama sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam semalam.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akan memanggil Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka untuk memberi keterangan selain diambil sampel air kencing untuk saringan sebaik sahaja mereka dibenarkan pulang ke Malaysia.-UTUSAN