KOTA BHARU: Penyanyi Bea Soba Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, tekad menyusun langkah dan memulakan hidup baharu selepas selepas dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda serta penyalahgunaan dadah dari Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Menerusi perkongsian status di laman sosial Instgram Eda Ezrin merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga, sahabat dan semua peminat di atas doa yang tidak pernah putus dikirimkan kepadanya.
“Terima kasih kerana tidak pernah membelakangkan saya dan temui kekuatan untuk terus bertahan. Moga Allah membalas setiap kebaikan kalian,” katanya.
Eda Ezrin memberitahu, dia bersyukur dapat kembali semula ke tanah air selepas melalui detik-detik yang begitu mencabar dalam hidup.
Kata ibu kepada dua cahaya mata ujian yang dihadapinya itu bukan sesuatu yang mudah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan Nur Aida Mamat,33, kembali ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi selepas sembilan bulan menjalani tahanan sementara di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Empat lagi rakyat Malaysia, suami kepada Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, suami Nur Aida iaitu Mohamad Alif Deraman, Eridieka Mohd. Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, masih ditempatkan di Pejabat Imigresen Sungai Golok, Thailand.
Sebelum itu, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan Nur Aida menjalani proses rakaman percakapan di Balai Polis Rantau Panjang lebih tiga jam selepas tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada pukul 7.50 malam.
Bagaimanapun Eda Ezrin memilih untuk pulang ke rumah ibu mentuanya di Kota Bharu.
Terdahulu, Nur Aida keluar dari Balai Polis Rantau Panjang pada 11.30 malam dengan menaiki kereta sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V.
Eda Ezrin yang memakai jubah berwarna hitam kelihatan sempat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebaik sahaja keluar dari pintu balai polis sebelum menaiki sebuah kereta jenis Honda City Hatchback keluarga mentuanya 10 minit kemudian.-UTUSAN