am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail tidak mungkin dibebaskan minggu depan susulan pihak pendakwa raya Thailand dijangka mengemukakan rayuan terhadap kesnya dan lima lagi rakyat Malaysia di mahkamah sama di Narathiwat.
Menurut sumber, pihak pendakwaan sedang mencari tarikh perbicaraan sebelum tempoh rayuan berakhir pada 6 Ogos depan.
“Pendakwa raya sudah membawa rayuan ke mahkamah pusat dan dijangka merujuk kes ini kembali ke mahkamah asal untuk perbicaraan semula,” katanya.
Sumber juga mengatakan bahawa pihak pendakwaan kemungkinan akan membuka fail kes baharu terhadap semua enam individu terbabit tetapi tuduhan baharu itu masih tidak jelas ketika ini.
Pada Mac lalu, Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, hari ini daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap Eda Ezrin, 30, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti kesemua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.
Bagi tuduhan penggunaan dadah, hakim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) kepada setiap mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd