am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Bekas penghantar p-hailing terlepas hukuman gantung apabila dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar 684 gram dadah methamphetamine, lima tahun lalu.
Hakim Datuk DJP Suria Kumar menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Nadhir Zailany, 31, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurutnya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
“Pembelaan membangkitkan beberapa isu, termasuk kegagalan pendakwaan memanggil individu dikenali sebagai ‘Hafiz’ yang didakwa tertuduh sebagai pemilik sebenar dadah berkenaan.
“Turut dibangkitkan isu tertuduh yang melalui enam sekatan jalan raya (SJR) tanpa masalah dengan polis kecuali di Ayer Keroh, kegagalan memanggil Inspektor Hasif sebagai saksi serta pegawai penyiasat tidak membuat acu pakai terhadap beg silang hitam Kenzo Paris itu,” katanya.
Suria berkata, fakta menunjukkan tertuduh ditahan bersama dadah yang berada di dalam beg disilang pada tubuhnya, manakala tiada keterangan sokongan dikemukakan bagi membuktikan Hafiz ialah pemilik sebenar beg berkenaan.
“Kegagalan pendakwaan memanggil Hafiz sebagai saksi tidak menjejaskan keterangan saksi pendakwaan keempat dan kelima yang melihat beg mengandungi dadah itu pada tubuh tertuduh, sekali gus menunjukkan dia mempunyai kawalan, pengetahuan dan pemilikan terhadap dadah itu.
“Tertuduh memandu kereta Proton Preve hampir 15 jam dari Kota Warisan ke Sentul sebelum menuju ke Tol Ayer Keroh dengan beg berkenaan disilang pada tubuhnya. Tertuduh juga seorang saja di dalam kereta ketika kenderaan itu ditahan,” katanya membacakan penghakiman lisan di akhir kes pembelaan hari ini.
Suria berkata, fakta tertuduh melalui enam SJR dan memberikan kerjasama kepada polis tidak bermakna dia tidak mengetahui kandungan beg berkenaan.
Katanya, mahkamah mendapati tertuduh menggunakan dokumen palsu (surat pengesahan kerja) untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang memeriksa dokumen kebenaran rentas daerah atau negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika itu.
“Mahkamah sukar mempercayai keterangan tertuduh bahawa dia tidak menyedari kewujudan beg itu di dalam kereta dan hanya mengetahuinya selepas ditemukan polis, sedangkan dia menggunakan kenderaan itu dari jam 6.30 pagi hingga 9 malam pada hari kejadian,” katanya.
Mahkamah turut mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan tertuduh, termasuk dakwaannya bahawa dia diarahkan Hafiz untuk mengangkut besi buruk ke Kota Warisan yang tidak dibangkitkan ketika kes pendakwaan, selain perbezaan keterangan berhubung lokasi beg itu ditemukan.
“Mahkamah mendapati pembelaan gagal mematahkan anggapan pengedaran dadah dan tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 9 Jun 2021 serta 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod, manakala tertuduh diwakili peguam C Aiswarya Devi dan S Ruben Raj.
© New Straits Times Press (M) Bhd




