Edar dadah untuk bayar hutang ah long

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail hari ini berkata pihaknya turut merampas 23.879kg syabu dianggarkan bernilai RM955,500. (Gambar Bernama)

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas kira-kira 23.879kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM955,500 dan menahan seorang lelaki yang mendakwa terpaksa mengedarnya untuk membayar hutang Ah Long atau ceti haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail hari ini berkata, suspek berumur 31 tahun itu ditahan sepasukan polis JSJN Sarawak kira-kira jam 9 pagi Rabu lepas, berhampiran sebuah hospital swasta di Jalan Stutong di sini, selepas didapati menyembunyikan satu bungkusan plastik di dalam semak berdekatan.

“Bungkusan tersebut didapati mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 18 peket plastik pelbagai saiz, dengan setiap satu peket mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar keseluruhan 145g,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Aidi berkata, serangkai anak kunci serta kad akses rumah turut dijumpai di dalam poket seluar suspek berkenaan, dan dia membawa pasukan polis itu ke kediamannya iaitu sebuah apartmen di Jalan Batu Kawa di Kuching, di mana premis berkenaan dimasuki menggunakan kunci dan kad akses yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan bilik pertama rumah tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai satu beg berwarna merah berisi 21 bungkusan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar ialah 21,884g,” katanya.

Aidi berkata pasukan serbuan itu turut menemukan satu kotak polisterin mengandungi 141 plastik lutsinar pelbagai saiz, berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 1.85kg dan suspek itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, 1952 kerana mengedar dadah.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, selepas hasil ujian awal mendapati dia positif mengambil dadah jenis ketamin dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 1 April,” katanya.

Beliau berkata suspek seorang penganggur dari Sabah dan tiada rekod kesalahan lampau, telah memasuki Sarawak pada 9 Nov lepas dan dikuarantin 14 hari di sebuah hotel di bandar raya Kuching.

Semasa berada di Kuching, suspek mendakwa telah dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenalinya yang menawarkannya untuk mengedar dadah di sekitar bandar raya itu, dan kerana hendak membayar hutang Ah Long berjumlah RM10,000, dia bersetuju untuk mengedarnya sejak Disember lepas.

Aidi berkata, modus operandi suspek adalah dengan meletakkan bungkusan dadah di satu lokasi dan mengambil gambar lokasi tersebut, yang dihantarnya melalui aplikasi sosial kepada lelaki yang tidak dikenali itu yang seterusnya akan memaklumkan pelanggan lokasi berkenaan.

Katanya pihaknya sudah mengenal pasti lelaki tidak dikenali itu, dan maklumat berkaitan individu itu telah dihantar kepada Bahagian Risikan Antarabangsa JSJN Bukit Aman dan juga JSJN Kontinjen Sabah untuk mengesannya.