am@hmetro.com.my
Kuching: Syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti pengedaran gas tanpa lesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20 juta jika disabit kesalahan mengikut Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki berkata, jumlah denda itu adalah bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan seterusnya, denda dikenakan sehingga 10 kali ganda seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 21A ordinan berkenaan.
Beliau berkata, langkah kawal selia itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan semua aktiviti berkaitan pengedaran gas dijalankan secara sah dan selamat mengikut peruntukan undang-undang.
“Dengan pelaksanaan kawal selia yang ketat ini, kerajaan Sarawak komited memastikan industri gas di Sarawak kekal terkawal, teratur dan selamat demi kepentingan pengguna serta kelestarian pembangunan utiliti negeri.
“Setakat ini, 10 notis ketidakpatuhan dikeluarkan kepada pihak yang menjalankan aktiviti pengedaran gas tanpa lesen di Sarawak,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Ibrahim berkata, sehingga kini sebanyak 551 lesen berkaitan aktiviti industri gas dikeluarkan sejak pindaan DGO 2016 berkuat kuasa tahun lalu.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 14 lesen diberikan kepada pemain industri huluan manakala 537 lesen membabitkan industri hiliran yang beroperasi di negeri ini.
Mengenai lesen yang dikeluarkan mengikut Seksyen 7 ordinan itu, beliau berkata ia merangkumi pelbagai peringkat aktiviti industri gas bermula daripada pengimportan, regasifikasi, pemprosesan, pengangkutan, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur gas, pembekalan hingga ke peruncitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd