am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis lebih tiga kilogram, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pendakwaan terhadap tertuduh, Norazan Che Derahman, 46, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Suriyati Hasimah berkata, pihak pembelaan gagal menyangkal keterangan bahawa tertuduh mempunyai milikan, jagaan dan kawalan ke atas dadah seperti mana dalam pertuduhan.
“Mahkamah berpeluang mempertimbangkan secara maksima segala keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pembelaan dan menghalusi hujahan bertulis dan lisan oleh kedua-dua pihak.
“Mahkamah mendapati pembelaan yang dibangkitkan adalah bersifat penafian semata-mata atau ‘bare denial’ dan ‘afterthoughts’ (alasan kemudian).
“Oleh itu, mahkamah mendapati satu kes di luar keraguan munasabah berjaya dibuktikan terhadap tertuduh dan mendapati tertuduh bersalah di atas kesalahan mengedar dadah berbahaya seperti mana pertuduhan terhadapnya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 September 2022 serta 12 kali sebatan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang sebelum ini bekerja kampung dan menjual hasil kebun belakang rumahnya didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat bersih 3,259.5 gram di sebuah rumah dekat Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, jam 1.15 petang, 4 September 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mengemukakan enam saksi pendakwaan ketika perbicaraan di peringkat pendakwaan, manakala peguam Zurina Sidek yang mewakili tertuduh mengemukakan seorang saksi pembelaan ketika prosiding bela diri iaitu tertuduh sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd