Eddy dedah punca PDRM tewas besar

Eddy dedah punca PDRM tewas besar

sukan@metro.com.my

Kuching: Jaringan kedua oleh Kuching City FC terbukti menjadi detik perubahan utama apabila PDRM FC hilang rentak sebelum tewas 1-4 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, malam tadi.

Penolong ketua jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil mengakui pasukannya mempamerkan dua wajah berbeza sepanjang perlawanan, dengan separuh masa kedua menyaksikan kemerosotan ketara prestasi pelawat.

Menurutnya, PDRM FC sebenarnya memulakan aksi dengan baik apabila para pemain berjaya mengikut perancangan serta mempamerkan kerjasama yang mantap sepanjang 45 minit pertama.

“Namun, situasi berubah pada separuh masa kedua. Gol kedua Kuching City berlaku terlalu cepat dan ia memberi kesan besar kepada semangat pasukan. Ketika kami cuba bangkit, kami dibolosi pula dengan gol ketiga,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jaringan kedua itu menjadi titik perubahan yang menyebabkan pasukan hilang arah, sekali gus gagal mengekalkan momentum permainan.

“Pada separuh masa pertama, kami masih mampu memperbaiki kesilapan. Tetapi pada separuh masa kedua, setiap kesilapan terus membawa kepada jaringan,” kata Eddy lagi.

Lebih mengecewakan, ketiga-tiga gol yang dilepaskan PDRM FC berpunca daripada situasi bola mati menerusi dua sepakan percuma dan satu sepakan penjuru, meskipun kelemahan itu sudah dikenal pasti lebih awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top