sukan@hmetro.com.my
Seremban: Selepas pasukannya tewas dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini, jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Eddy Gapil akui bimbang dengan prestasi skuad bimbingannya itu menjelang pertembungan dengan Imigresen FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Negeri, Batu Kawan, petang esok.
Kebimbangan yang diluahkannya itu susulan isu kewangan dan gaji skuad Sang Saka Biru dikatakan belum selesai sepenuhnya.
Pengendali itu berkata, beliau khuatir isu luar padang berkenaan akan menganggu fokus dan komitmen anak buahnya ketika mereka dituntut memberikan aksi terbaik dalam usaha membantu pasukan untuk bangkit mendapatkan tiga mata.
“Kami tetap fokus untuk mempersiapkan pasukan bagi perlawanan menentang Imigresen esok, namun apa yang saya nampak dan dapat simpulkan, ia bukan pada persiapan terbaik.
“Memang ada perkara positif dalam persiapan yang kita lakukan, di mana pemain memberikan komitmen tinggi dalam latihan dan menunjukkan kesungguhan untuk membina kekuatan yang terbaik kepada pasukan, tapi ia tidak seperti mana yang biasa kita lakukan sebelum ini.
“Saya rasa khuatir isu luar padang (gaji) ini akan menggangu fokus mereka dan rentak pasukan, ia ibarat tanam pokok, kalau lama tak disiram, akan beri kesan..sama lah juga macam pemain,” kata Eddy.
Eddy berharap isu gaji berkenaan dapat menemui jalan penyelesaian dan berakhir dengan baik demi untuk kepentingan dan masa depan pasukan PDRM FC.
“Saya berharap isu luar padang ini tidak terus berlarutan, sebaliknya dapat berakhir dengan baik demi kepentingan pasukan,” kata pengendali berpengalaman itu.
Mengulas lanjut mengenai usahanya untuk memastikan PDRM mampu membawa balik mata dari Pulau Pinang, Eddy berkata, semua pemain utama berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk diturunkan pada aksi itu nanti.
“Apa yang saya harapkan semua pemain boleh bagi sepenuh tenaga yang mereka ada untuk perlawanan petang esok dan berharap matlamat untuk bawa balik mata dari tempat lawan itu dapat direalisasikan,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan hukuman denda RM70,000 dikenakan ke atas PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) susulan isu tunggakan gaji yang dihadapi dua kelab terbabit.
First Instance Body (FIB) memberikan masa sehingga 31 Disember ini untuk dua kelab berkenaan menyelesaikan isu tunggakan dan jika gagal menepati tarikh yang diberikan, tindakan lebih tegas di bawah Artikel 14(1)(e) Peraturan FFP MFL bagi musim 2025-2026 boleh diambil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




