Edisi ketiga TMB100 lebih meriah, tarik penyertaan 13 negara

Edisi ketiga TMB100 lebih meriah, tarik penyertaan 13 negara

Putrajaya: Lebih 2,200 peserta dari dalam dan luar negara bakal membanjiri pekan Baling, Kedah bagi menyertai acara larian denai berprestij, The Magnificient Baling 100 (TMB100) 2025 pada 15 dan 16 Ogos ini.

Memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2023, acara anjuran Ten Senses (M) Sdn Bhd itu mencatat peningkatan lebih 100 peratus penyertaan berbanding tahun lalu, selain menarik minat pelari dari 13 negara termasuk Brunei, China, Chad, Korea Selatan, Rusia, Switzerland dan United Kingdom.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohd Bukhari Ismail berkata, peningkatan penyertaan khususnya bagi kategori ‘ultra’ membabitkan jarak 50 kilometer (km) dan 100km menunjukkan semakin ramai peminat sukan ini mahu menguji ketahanan diri di laluan mencabar.

“Ketika mula dianjurkan pada 2023, hanya 700 peserta mengambil bahagian, ia meningkat kepada hampir 1,000 tahun lalu dan edisi kali ini sudah mencecah 2,200. Ia bukti larian jarak jauh kini semakin diminati,” katanya.

Laluan TMB100 membawa peserta merentasi kawasan Bukit Palong, sawah padi, Sungai Ketil, serta tujuh gua termasuk Gua Tembus, Gua Matahari dan Gua Ular sebelum kembali ke pekan Baling.

Tahun ini, penganjur mengetengahkan tema ‘The Origin of Ban Ling’ dengan monyet sebagai logo, bertepatan maksud ‘ban-ling’ dalam bahasa Thai yang merujuk haiwan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, TMB100 bertepatan dengan usaha mempromosikan Baling sebagai destinasi eko-pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan Experience Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top