sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pemain tengah PDRM FC, Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy menyifatkan gol tunggal dijaringkannya ketika menang 1-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam aksi Liga Super Sabtu lalu, sebagai pembakar semangat untuk mempertahankan maruah pasukan.
Menurutnya, kemenangan itu sangat bermakna buat dirinya dan pasukan selepas kempunan merasakannya dalam 13 perlawanan terdahulu termasuk dalam saingan awal Piala Malaysia dan Piala Cabaran.
“Saya sangat bersyukur dapat menjaringkan gol itu ketika PDRM amat dahagakan kemenangan selepas sekian lama kami tidak merasakan nikmat kemenangan.
“Walaupun kemenangan itu tidak dapat mengubah kedudukan pasukan dalam carta liga, tetapi ia cukup bermakna dalam membantu meningkatkan keyakinan bagi kami meneruskan perjuangan dalam liga musim ini,” kata Eizrul Ashraf yang mesra dipanggil Acap, hari ini.
Eizrul Ashraf menegaskan kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan komitmen tinggi rakan sepasukan selain motivasi serta semangat diberikan jurulatih, Eddy Gapil, yang mahukan pemain menggunakan peluang beraksi di laman sendiri di Stadium Selayang.
Justeru, dia berazam untuk terus memperagakan aksi terbaik dalam aksi berikutnya dan berharap kemenangan berkenaan dapat menjadi pencetus kepada kebangkitan skuad Sang Saka Biru dalam mendepani baki lapan perlawanan liga musim ini.
Menurutnya, meskipun tugas itu bukan mudah kerana akan berhadapan beberapa pasukan handalan termasuk Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), kesempatan perlu diambil apabila bertemu dengan pencabar yang berada di pertengahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




