Ejekan rakan pemangkin semangat Umar jadi 'sado'

Ejekan rakan pemangkin semangat Umar jadi 'sado'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Ipoh: Tidak pernah terlintas di fikiran Muhammad Umar untuk memiliki tubuh cantik dan ‘sado’ jauh sekali aktif dalam bidang kecergasan.

Bagaimanapun, ejekan rakan yang seolah memperlekehkannya kerana bertubuh kecil membakar semangat Muhammad Umar Affan, 32, untuk ke pusat gimnasium bagi mengubah penampilan diri.

Titik permulaannya adalah ketika Muhammad Umar berumur 19 tahun apabila dia beranikan diri ke pusat gimnasium bagi memulakan latihan kecergasan.

Muhammad Umar yang kini bertugas sebagai anggota bomba di Balai Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, dia tidak menggunakan khidmat jurulatih kecergasan sebaliknya berlatih sendiri dengan berpandukan video tutorial di YouTube.

“Saya tiada pendedahan mengenai bidang kecergasan tapi suka tengok fizikal badan cantik.

“Cuma tak minat nak buat rutin kecergasan tapi ejekan kawan yang dorong saya pergi pusat gimnasium untuk buat badan dan masih ingat berat badan waktu itu hanya 46 kilogram (kg) saja.

“Lama kelamaan, aktiviti kecergasan sudah jadi satu rutin harian dan kalau tak buat macam tak kena kerana ianya sudah jadi terbiasa dengan aktiviti harian saya.

“Abang dengan adik pun turut aktif ke pusat gimnasium sebab ikut saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan pengalaman awal ketika mula aktif, Muhammad Umar berkata, dia pernah mengalami sakit badan sampai demam urat.

“Demam saya itu berlarutan sampai lima hari dan ikutkan memang tak tahan.

“Tapi saya belajar sesuatu iaitu kalau baru sakit sedikit kemudian berhenti (aktif dalam kecergasan) bila badan nak jadi?

“Maka saya teruskan kerana percaya dengan usaha pasti akan ada hasilnya.

Meskipun terikat dengan komitmen kerja , Muhammad Umar tidak menganggap ia sebagai halangan untuk aktif melakukan rutin kecergasan kerana ada pusat gimnasium di balai bomba.

Jadi, masa terluang yang ada digunakan bapa dua anak itu untuk ke pusat gimnasium berkenaan untuk melakukan rutin kecergasan.

“Niat saya aktif dalam bidang kecergasan adalah nak dapat bentuk fizikal yang cantik dan amalkan gaya hidup sihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top