norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), Usamah Zaid Yasin sangat berbesar hati apabila penonton memberikan ‘rating’ agak tinggi antara sembilan dan 10, sekali gus dianggap agak baik buat karya animasi popular itu.
EATM2 yang ditayangkan sejak 22 Mei lalu dan hingga kini dimaklumkan menerima sambutan baik daripada orang ramai, termasuk mencatat peningkatan positif.
Menurut Usamah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation, dia juga amat berterima kasih kepada penonton dan peminat Ejen Ali yang tidak pernah jemu serta terus menyokong animasi berkenaan.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Banyak penonton yang berikan ‘rating’ 9 dan 10 untuk EATM2. Malah, beratus dan beribu bintang pun ada. Tapi, sudah tentu ada juga yang minta naskhah kali ini dibaiki lagi walaupun segelintir.
“Kami (di pihak pembikin) faham, hasil kami masih belum sempurna. Tapi, harapnya masih boleh mendapat sokongan dan kutipan yang baik supaya berpeluang untuk terus berkarya (pada masa akan datang).
“Saya berterima kasih kepada pihak panggung (pawagam) yang banyak memberi sokongan bersama-sama dengan kami sebagai penerbit dalam mengadakan aktiviti ‘meet & greet’ serta ‘ground activation’ bagi memeriahkan lagi sambutan.
“Begitu juga, buat peminat-peminat dan penonton yang berkongsi ‘review’ yang bagus. Saya percaya sedikit-sebanyak ia akan menggalakkan lebih ramai penonton untuk datang ke pawagam menonton EATM2,” katanya dihubungi Harian Metro.
Difahamkan untuk EATM2 kali ini yang turut dibawakan dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) dan Komet Productions menyasarkan kutipan ‘box office’ ingin diperoleh sebanyak RM60 juta.
Ia susulan mengambil kira kejayaan tayangam filem Ejen Ali The Movie pertama di pawagam kira-kira enam tahun lalu iaitu 2019 yang mencatat kutipan pecah panggung sehingga RM30 juta dan amat membanggakan.
Bagi penggemar Ejen Ali, siri animasi ini pernah ditayangkam di TV3 sebaik diperkenalkan pada 2016 dan kisahnya berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri yang mendapat sambutan hangat.
Sehubungan itu, untuk EATM2 pula mengisahkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah SATRIA iaitu program elit menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Namun, misi itu menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.
Pada masa sama, Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, muncul kembali, namun niat sebenarnya mencetuskan kekacauan menjadi tanda tanya?
Bagaimanapun, dalam dunia penuh tipu muslihat dan bahaya itu menjadikan setiap keputusan diambil Ali adalah penentu, bukan hanya untuk dirinya, tetapi masa depan seluruh kota Cyberaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd