Ejen Ali The Movie 2 Pecah Panggung, Kutip RM15.3 Juta Dalam Masa 4 Hari!

Ejen Ali The Movie 2 Pecah Panggung, Kutip RM15.3 Juta Dalam Masa 4 Hari!

Filem animasi aksi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencipta kejutan apabila berjaya meraih kutipan RM15.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai filem pilihan nombor satu rakyat Malaysia.

Lebih membanggakan, lebih 1 juta penonton sudah membanjiri pawagam sejak hari pertama tayangan rasmi yang bermula 22 Mei lalu di 161 lokasi seluruh Malaysia dan Brunei, menjadikan ia pembukaan tayangan animasi tempatan terbesar setakat ini.

Sambutan luar biasa ini menyaksikan pawagam mula menambah slot tayangan bagi memenuhi permintaan tinggi, apatah lagi musim cuti sekolah yang bakal bermula 29 Mei dijangka terus melonjakkan jumlah tontonan.

Pengarah filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan sokongan yang diterima sebagai luar biasa sejak sesi tayangan awal bersama peminat.

“Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima sangat menyentuh hati. Rata-rata penonton berkongsi komen positif dan ia menjadi pembakar semangat buat kami untuk terus berkarya dalam dunia Ejen Ali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, turut mengajak lebih ramai penonton untuk menyokong karya tempatan ini di pawagam.

“Kami menyeru semua ‘ejen’ untuk terus membanjiri pawagam, bawa keluarga dan anak-anak kerana Ejen Ali bukan sekadar hiburan, malah sarat mesej penting yang sesuai untuk semua lapisan usia.

“Kami juga berharap agar penonton tidak mendedahkan sebarang spoiler bagi menjaga pengalaman menonton bagi yang lain,” katanya.

Dengan tagline ‘Satria, Bangkit’, EATM2 terus mencuri tumpuan sebagai filem animasi tempatan yang berjaya menggamit emosi dan mempamerkan kualiti setanding produksi antarabangsa.

Ikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan paparan di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.

Scroll to Top